
HEBOH diperkatakan di media sosial ketika ini berhubung masalah rumahtangga dihadapi tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim selepas isterinya memfailkan cerai terhadap pemain berkenaan.
Perkara tersebut hangat dibincangkan sejak isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril mengesahkan sudah memfailkan permohonan cerai selain menyatakan mereka sudah tidak bersama untuk kira-kira sebulan.
Meskipun tidak menyatakan sebab sebenar, situasi itu sudah tentu memberi kesan terhadap Faisal yang tidak sampai dua tahun lalu menjadi mangsa simbahan asid.
BACA LAGI: Bukan kali pertama, saya pernah diceraikan sebelum ini — Isteri Faisal Halim
BACA LAGI: NFA tak bermakna kes serangan asid Faisal Halim tidak boleh disiasat lagi — Azalina
Faisal memastikan isu di luar padang tidak mengganggu fokusnya dalam pasukan. — Facebook/Malaysia NT
Namun, kemelut tersebut tidak memberi tamparan terhadap bintang Selangor FC itu yang ketika ini berada dalam kem latihan Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan berdepan Singapura dan Palestin.
Ini selepas pengendali pasukan, Peter Cklamovski tampil memberi sokongan penuh buat Faisal dengan melabel pemain tersebut sebagai berkelas dunia di sebalik ujian menimpanya.
“Dari segi bola sepak, Faisal benar-benar berada dalam keadaan terbaik. Dia menjalani latihan konsisten, pendekatannya profesional dan mentalitinya untuk menjadi yang terbaik cukup mengagumkan,” katanya.
Faisal merupakan seorang daripada 29 pemain dipanggil Cklamovski untuk berdepan Singapura pada Khamis di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum bertemu Palestin empat hari kemudian di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Meskipun belum mencetak sebarang gol dalam saingan Liga Super, prestasinya sudah bertambah baik dalam membantu skuad Gergasi Merah dalam pertandingan di peringkat domestik dan Asia setakat ini.
Pemain berusia 27 tahun itu berkemungkinan tidak akan berada dalam kesebelasan utama, namun kelibatnya di bangku simpanan sedikit sebanyak memberi pilihan kepada Cklamovski.
Kedua-dua perlawanan tersebut menjadi medan buat Harimau Malaya untuk mendapatkan rentak sebelum kembali ke pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Laos pada Oktober. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram