Anggap seolah-olah dilupakan, Milos Gordic tertanya-tanya kenapa wujud 2 kelab di Kedah


  • Podium
  • Rabu, 03 Sep 2025

Milos Gordic meluahkan rasa kecewa dan kesedihan atas pemergiannya dari kelab Utara tanah air itu. — Facebook/KDAFC

BEKAS penyerang import Kedah Darul Aman FC, Milos Gordic meluahkan rasa kecewa dan kesedihan atas pemergiannya dari kelab tersebut dalam satu hantaran penuh emosi yang mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air.

Menurutnya, dia kekal setia bersama Sang Kenari ketika kelab itu melalui saat paling getir dalam sejarah, namun kesetiaannya tidak dihargai oleh pihak pengurusan.

“Saya berdiri bersama kelab dalam masa paling sukar, percaya pada perjuangan ini. Tapi, saya dan ramai lagi yang setia tidak diberi layanan yang adil, malah kami dilupakan,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Luka lama masih berdarah, Singapura tunjuk Harimau Malaya jalan keluar kali terakhir berentap di Bukit Jalil

BACA LAGI: Bukan kali pertama, saya pernah diceraikan sebelum ini — Isteri Faisal Halim

Tangkap layar Instagram Milos Gordic.

Pada masa sama, Milos turut menyentuh mengenai isu kelewatan pembayaran gaji, penyingkiran kelab dari saingan Liga Super dan situasi yang mana kelab terpaksa beraksi di Stadium Mini MPKP, Jitra bagi saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/26 berbanding stadium rasmi.

Menurutnya, perkara itu adalah simbol kemerosotan yang menyedihkan bagi sebuah kelab yang pernah digeruni suatu ketika dulu.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan kelab baharu, Kedah FA, dia tidak menolak usaha tersebut namun menyoal rasional di sebalik perpecahan yang berlaku.

Gordic merasakan kewujudan dua pasukan tersebut tidak membantu penyokong Kedah sama sekali.

Ini kerana menurutnya, lebih baik sumber yang sedia ada digunakan untuk membantu KDA FC.

Bekas penyerang KDA FC, Milos Gordic.  Facebook/KDAFC

“Saya lihat kelab baru, Kedah FA telah ditubuhkan dan mendapat sokongan yang diperlukan untuk berfungsi dengan normal. Saya tiada niat mempersoalkan kewujudan mereka tetapi saya tanya diri sendiri, kenapa?.

“Tidakkah ada solusi bersama yang boleh diambil supaya ada satu kelab bersejarah yang penting saja wujud, Kedah Darul Aman?.

“Itu bukan saja memelihara tradisi daripada mencetuskan perpecahan yang mana itu tidak memberi manfaat kepada penyokong atau bola sepak Kedah,” katanya dalam satu hantaran di Instagram pada Rabu.

Walaupun kecewa dengan pengurusan, dia tetap menghargai kasih sayang yang diterima daripada penyokong Hijau Kuning dan rakyat Malaysia.

“Saya terharu dengan semua mesej dan sokongan. Saya hanya kesal tidak datang pada waktu yang lebih baik. Tapi rakyat Kedah sentiasa buat saya rasa seperti di rumah sendiri," kongsinya.

Milos mengakhiri kenyataan dengan harapan agar bola sepak Kedah dapat dibina semula atas asas yang kukuh dan kembali ke tempat yang sepatutnya.

Untuk rekod, Gordic beraksi bersama KDA FC pada musim 2024/25 dengan mencipta empat gol dan satu bantuan gol dalam 26 penampilan liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram