
PEMANGKU Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi mengumumkan Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram akan mengisi posisi ditinggalkannya dalam Liga Bola Sepak Amatur (AFL).
Pengumuman itu dibuat dalam satu sesi sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis yang menyaksikan beberapa perubahan lain turut dilakukan terhadap pucuk pimpinan organisasi itu.
“Timbalan Presiden FAM, Sivasundaram pula dilantik sebagai Pengerusi AFL untuk menggantikan tempat Datuk Mohd Yusoff. Selain itu, dia kini menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan beserta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur," katanya.
BACA LAGI: Isu pengadil: Nasib Razlan Joffri, Fitri Miskon jelas berlawanan
BACA LAGI: Usah persoal keputusan FAM, tapi hormatilah pandangan Subkhiddin — Pakar
Sivasundaram kini memikul peranan Presiden AFL bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Yusoff Mahadi.
Dalam pada itu, FAM turut mengumumkan penstrukturan semula membabitkan jawatan pengerusi dalam beberapa Jawatankuasa Tetap badan induk bola sepak negara itu.
Yusoff Mahadi kini menggalas tugas dalam tiga portfolio baharu selaku Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Darurat.
Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan serta seorang lagi Naib Presiden, Datuk Saaran Nadarajah kini menggalas tugas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil.
Naib Presiden FAM, Dato’ Dollah Salleh dan Exco FAM, Dato’ Zainal Abidin Hassan pula diberikan peranan bagi memantau Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan juga Akademi Mokhtar Dahari (AMD). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram