Joehari Ayub kosongkan pejabat, Yusoff Mahadi disebut pangku tugas Presiden FAM bermula Rabu


  • Podium
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Joehari (kiri) dilaporkan semakin hampir meninggalkan FAM.

DESAS-DESUS mengatakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Joehari Ayub akan meletakkan jawatannya semakin kuat.

Ia dapat dilihat selepas pejabatnya di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor sudah pun dikosongnya untuk memberi laluan kepada pemangku presiden mengemudi badan induk bola sepak negara.

Menurut pemerhati bola sepak negara, Fina Nasrom, FAM akan bersidang pada Rabu untuk menentukan siapakah pemangku jawatan tersebut namun terdapat dakwaan mengatakan timbalan presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi akan dilantik.

BACA LAGI: Isu Jalur Gemilang dipangkah, FAM sudah hubungi AFC — Joehari

BACA LAGI: Hamidin sebagai Presiden Kehormat, FAM tegaskan tiada penindihan kuasa — Joehari Ayub

Joehari dikatakan semakin hampir meninggalkan FAM. — X/Fina Nasrom

"Difahamkan bilik Presiden di Tingkat 3 (Wisma) FAM sudah dikemaskan selain surat perletakkan jawatan Presiden FAM sudah pun dihantar ke sekretariat FAM.

"Mesyuarat Jawatankuasa EXCO FAM akan berlangsung pada Rabu sebelum pengumuman rasmi dibuat badan induk itu," kata Fina.

Dengan perletakkan jawatan Joehari, kerusi presiden seharusnya dipangku oleh timbalannya sama ada Yusoff atau Datuk S. Sivasundram.

Namun begitu, Yusoff dilihat sebagai calon utama untuk memangku jawatan tersebut kerana dia dilihat sebagai timbalan paling kanan dalam organisasi FAM.

Di FAM, Yusoff turut memegang portfolio Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Luar Biasa, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan & Hubungan Persatuan Ahli, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan serta Pengerusi Amateur Football League (AFL). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram