
SUSULAN beberapa siri kesilapan dilakukan dalam aksi Piala MFL antara Selangor FC II dan Negeri Sembilan FC pada Khamis lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan tegas memecat pengadil perlawanan, Fitri Maskon.
Tindakan berkenaan diumumkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Sivasundaram yang mengatakan keputusan diambil selepas perbincangan mendalam dibuat badan induk bola sepak negara itu.
Dalam kenyataan dikeluarkan, pemecatan ke atas Fitri dibuat selepas pengadil berkenaan memberikan penalti yang kurang tepat selain masa tambahan diberikan adalah terlalu lama sehingga 15 minit.
BACA LAGI: Fitri Maskon jadi pengadil pertama dipecat FAM
Sivasundaram mengumumkan pemecatan Fitri dalam satu kenyataan.
Penjelasan dibuat itu sekali gus menjadi buah mulut peminat bola sepak negara yang beranggapan badan pengadilan dalam negara perlu dirombak selepas pelbagai isu sedemikian pernah berlaku sebelum ini.
Namun, ada pula beranggapan hukuman terhadap Fitri adalah terlalu berat memandangkan dia merupakan pengadil pertama diberikan tindakan dengan perkara itu pasti terus dibincangkan orang ramai.
Malah, bekas pengadil bertaraf FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh turut tampil memberi pandangan dengan mengatakan hukuman diambil FAM itu bersikap keterlaluan dan tergesa-gesa.
Percanggahan pendapat itu sudah tentu menimbulkan rasa kurang senang daripada peminat bola sepak yang berasakan keputusan sedemikian adalah wajar kerana ia membuktikan ketegasan organisasi berkenaan.
Subkhiddin mempersoalkan kewajaran hukuman FAM.
Bagaimanapun, sebahagian yang lain pula memberi pandangan berbeza dengan mengatakan Fitri menjadi mangsa keadaan kerana beberapa tahap pengadilan sebelum ini juga agak mengecewakan.
Mengulas berhubung hal itu, pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim berkata, pemecatan dilakukan terhadap Fitri tidak perlu dipersoal kerana kuasa tersebut adalah hak mutlak FAM.
"Saya sendiri tidak mahu komen adakah wajar atau tidak kerana saya sendiri bukanlah pakar dalam hal ini. Tetapi, sebagai pemerhati bola sepak, saya fikir tidak ada siapa boleh pertikai keputusan, jatuh kuasa itulah.
"Berhubung (kenyataan) Subkhiddin ini, dia adalah pakar dari segi pengadilan dan bertaraf FIFA. Jadi apa yang dikatakan itu mewakili pengadil-pengadil secara tidak rasmi ataupun secara dirinya sendiri sebagai pengadil.
"Jadi, kita sebagai peminat bola sepak perlu melihat apa yang Subkhiddin kongsikan untuk kita ambil tindakan lanjut. Kita kena hormatlah Subkhiddin punya pendapat," katanya kepada Majoriti.
Zulakbal beranggapan pengetahuan Fitri perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Tindakan terhadap pengadil bukanlah sesuatu hal baharu kerana nama-nama seperti Zulkarnain Zakaria dan Razlan Joffri Ali pernah direhatkan kerana mutu pengadilan masing-masing menimbulkan persoalan.
Bagaimanapun, hukuman dikenakan terhadap Fitri adalah sesuatu yang baharu dengan Zulakbal berasakan badan induk itu perlu membuat penilaian lebih mendalam mengenai masa depannya.
Jelasnya, sekiranya tindakan pemecatan tidak diambil, pengadil tersebut boleh digantung tugas dengan kepakaran dimilikinya sepanjang terlibat dalam bidang tersebut boleh dicurahkan dalam aspek yang lain.
"Pengalaman yang dipunyai masih boleh digunakan FAM dari sudut lain. Saya berasakan FAM pun boleh ambil situasi menang-menang kerana walaupun dia sudah dipecat, Fitri boleh diberi tugasan melatih pengadil baharu atau terlibat dalam kursus asas di peringkat awalan," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram