
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
BELUM terlambat rasanya untuk ramai – berdasarkan hitungan secara rambang – mengucapkan syabas kepada Razlan Joffri Ali. Dalam pada mereka harus berasa kesal atas cacian mahupun kritikan terhadap pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia pada Sabtu lalu, harap-harap ada terbit keinsafan agar tidak lagi terlalu mudah menjatuhkan hukuman.
Peminat bola sepak juga terhutang ucapan tahniah dan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), khususnya timbalan presiden, Datuk S. Sivasundaram – juga pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM – kerana telah membuat kerja dengan pantas dan tuntas bagi menamatkan kontroversi pengadilan dalam final itu.
Tidak hairanlah Sivasundaram dan seorang lagi penyandang, Datuk Yusoff Mahadi, menang tanpa bertanding jawatan nombor dua FAM dalam kongresnya 15 Februari kerana dilihat telah menjalankan tugas dengan penuh beramanah dan efisien sekali. Tahniah sekali lagi kepada kedua-duanya.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Semua yang tengok boleh nilai sendiri', Akmal Rizal 'puji' persembahan pengadil JDT-Penang
Tiga minggu sebelum pemilihan pada 20 Februari lalu, Yusoff dipetik Berita Harian sebagai berkata terdapat 'cakap-cakap belakang' yang mengaitkan dirinya bersama Sivasundaram kerana masih lagi berada dalam kepimpinan tertinggi FAM selepas sekian lama.
Menurutnya, ia tidak memberi kesan kepadanya memandangkan beliau terus kekal di jawatan itu kerana dipilih untuk membawa FAM ke arah lebih baik pada masa akan datang. Sivasundaram juga harus berpendirian yang sama dan tiada siapa harus meragui kedua-duanya.
Siapalah kita untuk mempersoalkan taat setia mereka untuk berbakti di samping pengalaman luas dan kebijaksanaan kedua-duanya untuk membantu Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Ayub, memacu peningkatan bola sepak negara seterusnya.
Datuk S. Sivasundram. — Harimau Malaya
Selepas mukadimah agak panjang itu, siapa jugalah peminat bola sepak tanah air untuk mempertikaikan apabila Sivasundaram merumuskan prestasi Razlan Joffri dalam final di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC itu adalah pada tahap baik sambil keputusan-keputusan penting yang dibuatnya bukan saja tepat melainkan tepat sama sekali.
Sivasundaram harus lebih tahu daripada sesiapa saja yang berpandangan sebaliknya – yang mungkin kecondongan mereka adalah kepada Sri Pahang dan tidak dapat menerima kekalahan, iri hati tak habis-habis terhadap JDT yang telah menghimpun 30 trofi atau masih tidak berpuas hati dengan Razlan Joffri atas kesalahan lalunya.
Lagipun, seperti dijelaskan Sivasundaram pada Isnin, kesimpulan terhadap prestasi baik Razlan Joffri dibuat selepas beliau meneliti laporan penilai pengadil serta analisis oleh Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM.
"Laporan Penilai Pengadil menunjukkan pengendalian perlawanan oleh Razlan Joffri telah menunjukkan satu prestasi baik, sekali gus tidak mempengaruhi keputusan akhir perlawanan. Unit Pengadil dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil mendapati keputusan kad kuning kedua (perintah keluar padang) kepada kedua-dua pasukan adalah tepat.
"Keputusan penalti yang diberikan kepada JDT dan keputusan membatalkan gol JDT kerana kesalahan ofsaid adalah tepat. Setiap insiden dalam permainan tersebut telah disemak dengan tepat oleh Pengadil VAR dan tahap pematuhan ‘Protocol VAR’ adalah sangat cemerlang," katanya.
Tapi, andai ditinjau pendapat peminat di media sosial, ramai yang berasakan Razlan Joffri bersikap berat sebelah, contohnya enam kad kuning dilayangkan kepada Sri Pahang berbanding hanya tiga kepada JDT selain banyak faul oleh pemain JDT yang terlepas daripada kad amaran.
Klip-klip video turut dimuat naik di TikTok, antaranya menunjukkan kekasaran Natxo Inxa dan Eddy Israfilov yang patut dilayangkan kad di samping Arif Aiman Hanapi yang lebih dulu didakwa ofsaid dalam perjalanan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-74.
Namun, itu mungkin hanya prasangka mereka semata-mata kerana seperti dijelaskan oleh Sivasundaram, setiap insiden penting dalam perlawanan (key match incidents) telah diadili dengan tepat mengikut undang-undang permainan FIFA.
Beberapa keputusan Razlan (baju kelabu) tidak disenangi penyokong. — Agensi
"Lumrah manusia tidak lari daripada kesilapan-kesilapan yang mana ia tidaklah sebesar mempengaruhi keputusan akhir perlawanan tersebut,” katanya.
Peminat yang menimbulkan persepsi negatif terhadap Razlan Joffri, korang pakai undang-undang mana? Korang tahu ke peraturan permainan bola sepak?
Cuma, Sivasundaram tidak menjelaskan kriteria pemilihan Razlan Joffri sebagai pengadil perlawanan akhir selepas lima bulan lalu dia direhatkan dua perlawanan gara-gara didapati tidak membuat keputusan tepat dalam perlawanan JDT dengan Perak di Stadium Sultan Ibrahim, 11 November lalu.
Ia membabitkan kesilapan Razlan dalam situasi sepakan penalti pada minit ke-38 dan pergelutan dua pemain, Tommy Mawat Bada dan Arif Aiman pada minit ke-84.
Kita bersangka baik sajalah. Anggap Razlan Joffri sudah belajar daripada kesilapannya ketika itu untuk menampilkan prestasi pengadilan cemerlang dalam final Piala Malaysia.
Barangkali juga nasib Razlan Joffri lebih baik kerana tahap pengadilannya pada 11 November lalu membabitkan JDT yang kesudahannya menang 5-0, dibandingkan dengan seorang lagi pengadil, Fitri Miskon – pengadil pertama dipecat FAM – disebabkan prestasi lemah dalam perlawanan Piala MFL di antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 13 Februari lalu.
Jadi, perbandingan tidak boleh dibuat kerana tahap kepentingan dan kesengitan kedua-dua perlawanan itu sama sekali berbeza. Apa kelas Piala MFL?
Pada penghujungnya, tahniah atas kemenangan hatrik dalam Piala Malaysia, Sabtu lalu buat JDT – yang selayaknya juara -- dan selamat maju jaya kepada Sri Pahang bila dan jika ia kembali bersaing dalam Liga Malaysia pada masa depan.
Buat Razlan Joffri, sekali lagi syabas atas prestasi pengadilan yang ditakrif baik dan tepat dalam aksi kemuncak itu yang melayakkannya diangkat selaku pengadil terbaik Liga Malaysia 2024/2025 kerana telah menjalankan tugasnya seperti diharapkan dan seperti diarahkan oleh Jawatankuasa Pengadil FAM.
Usah hairankan komen-komen negatif di media sosial yang tidak mungkin lebih penting daripada keputusan dan keadilan pihak-pihak berkuasa di FAM yang keputusannya adalah muktamad.
Setinggi-tinggi tahniah khususnya kepada Sivasundaram yang telah bertindak segera menjernihkan keadaan, terus beramanah di samping membersihkan nama Razlan Joffri daripada cacian dan kata-nista.
Kalian adalah yang terbaik! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram