Bola sepak Kedah seperti tiada sinar, masih awal dinilai atau hala tuju kurang jelas?


  • Podium
  • Khamis, 28 Ogos 2025

KDA FC dan Kedah FA yang beraksi dalam Liga A1 Semi Pro ketika ini belum mendapatkan rentak terbaik.

SELEPAS hampir sebulan berlangsung, Liga A1 Semi Pro 2025/26 sudah menyajikan pelbagai momen dan keputusan mencuri perhatian yang sekali gus menaikkan nilai saingan tersebut.

Misalnya, jaringan pantas daripada import Perak FA, Christian Okwudiri ketika berdepan Perlis GSA FC pada minggu lalu meletakkan gol tersebut dalam buku sejarah pertandingan.

Selain itu, keputusan mengejutkan seperti kekalahan Johor Darul Ta'zim (JDT) II kepada Seoul Phoenix FC dan rekod cemerlang Armed Forces FC setakat ini turut menghangatkan tarikan Liga A1 Semi Pro.

BACA LAGI: 'Renew' Derbi Utara di Liga A1 selepas 6 tahun, Perak dan Kedah meniti jalan kebangkitan

BACA LAGI: Liga A1: Lambakan senior petanda intensiti lebih rendah, sains sukan makin canggih 

Skuad Lang Merah hanya mencatatkan dua mata daripada dua perlawanan setakat ini. Facebook/Kedah FA

Bagaimanapun, perasaan sama tidak dirasakan peminat bola sepak di Kedah selepas kedua-dua pasukan dari negeri terbabit belum mendapat rentak konsisten selepas kira-kira tiga minggu saingan berlangsung.

Kedah FA yang sudah berbelanja besar pada jendela perpindahan belum membuahkan hasil selepas dua keputusan seri yang diraih ketika berdepan Perlis GSA FC dan Perak FA.

Kemenangan pertama sepatutnya boleh direkodkan minggu lalu, namun aksi berdepan JDT II terpaksa ditangguhkan atas alasan tersendiri, sekali gus memaksa peminat melupakan pertembungan epik itu.

Sementara itu, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berada di bawah kelolaan Tan Sri Mohd Daud Bakar turut mengalami nasib sama meskipun memulakan musim ini dengan langkah kanan.

Kemenangan ke atas Machan FC di Stadium Mini MPKP, Jitra disusuli dengan kekalahan tipis kepada Bunga Raya FC sebelum dimalukan Imigresen FC II minggu lalu.

Skuad Sang Kenari mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam Liga A1 Semi Pro. Facebook/KDA FC

Rentak mengecewakan daripada kedua-dua pasukan berkenaan meletakkan mereka di kedudukan merisaukan ketika ini dengan Kedah FA di tangga ke-14 manakala KDA FC di tangga ke-12.

Ini bukanlah situasi diinginkan peminat bola sepak di Kedah meskipun sebelum permulaan musim 2025/26, pihak pengurusan menegaskan penyertaan kali ini bukanlah untuk merebut kejuaraan.

Bagi mereka, kempen kali ini adalah bagi memberi ruang buat pasukan meraih kestabilan sebelum dapat memberi saingan pada musim-musim akan datang.

Namun, persoalannya, sampai bilakah penonton mampu bersabar dengan prestasi tidak konsisten daripada skuad Lang Merah dan Sang Kenari sebelum mereka berasa muak?

Sokongan sememangnya tidak pernah putus memandangkan rekod kehadiran tertinggi Liga A1 Semi Pro setakat ini adalah melibatkan Kedah FA semasa mereka berdepan Perlis GS FC di tempat lawan dengan seramai 4,168 peminat hadir ke stadium.

Kedudukan kedua-dua pasukan dari Kedah berada di posisi kurang meyakinkan. Facebook/AFL

Jumlah kehadiran penyokong ketika perlawanan membabitkan KDA FC juga tidak kurang hebatnya, terutama ketika mereka menerima kunjungan Machan FC pada minggu pembukaan yang menyaksikan 627 penonton hadir.

Ini menunjukkan sokongan masih boleh dicurahkan, namun pihak pengurusan perlu memastikan perubahan positif dapat ditonjolkan supaya penyokong terus berkobar-kobar untuk hadir. 

Ketika ini, mereka sudah tentu masih bersemangat untuk hadir kerana ada daripadanya beranggapan saingan baru sahaja bermula dengan pemain dan barisan kejurulatihan memerlukan masa bagi menyesuaikan diri.

Tetapi, sekiranya tiada sebarang usaha mengubah nasib pasukan di atas padang, catatan penonton ke stadium sudah tentu akan terjejas pada masa akan datang.

Pihak pengurusan perlu tampil menjelaskan hala tuju sebenar kelab masing-masing dengan harapan hasil lebih baik dapat disaksikan pada musim pertama di pentas Liga A1 Semi Pro. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram