Buat Devan, selamat datang ke saingan lebih mencabar semula


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 24 Ogos 2025

Devan masih menanti kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2025/26. — Facebook/Melaka FC

GELENGAN K. Devan yang terakam oleh kamera televisyen pada penghujung perlawanan PDRM FC-Melaka FC pada Sabtu menceritakan kekecewaan jurulatih itu yang terlepas peluang meraih kemenangan pertamanya musim ini.

Seri 1-1 dengan Penang FC dalam aksi pertama liga di tempat sendiri pada 13 Ogos dan tewas 0-2 kepada lawan sama dalam pusingan 16 Piala FA empat hari kemudian, Devan – antara jurulatih paling lama dalam Liga Malaysia sejak membimbing Negeri Sembilan pada 2003 – harus menghidu tiga mata sulungnya tetapi terpaksa menelan keputusan seri 0-0.

Sebagai jurulatih bersama banyak pasukan dalam kerjayanya, Devan sudah mengharungi banyak pengalaman turun naik dalam Liga Malaysia untuk menyedari tugas sukar mengemudi Melaka FC dalam musim pertamanya dalam Liga Super.

BACA LAGI: Gaji tak dibayar kelab Lembah Klang, bekas kapten Kedah antara pemain buat laporan polis

BACA LAGI: Kuching FC timba ilmu di Indonesia demi buru lonjakan berterusan

Aksi antara PDRM FC dan Melaka FC berakhir seri tanpa jaringan. Facebook/Melaka FC

Seperti kata ramai, Liga Super tidak menaruh sebarang belas kasihan kepada mana-mana pasukan yang sama ada kurang bersedia atau kurang pengalaman melainkan akan menghukum dengan kekecewaan amat memeritkan.

Musim pertandingan mungkin masih terlalu awal tetapi Devan harus menyedari masih banyak penambahbaikan perlu dilakukannya terhadap pasukan andai Melaka FC – juara Liga A1 Semi-Pro musim lalu – mahu menyaingi pasukan-pasukan besar atau setidak-tidaknya lawan yang liat.

Dalam aksi seimbang di Stadium Selayang pada Sabtu, Melaka FC mungkin hanya sedikit berkelebihan ke atas lawan – yang dibelasah Negeri Sembilan FC 0-5 dalam aksi pusingan 16 Piala FA -- tetapi kebuntuan jaringan memaksa mereka berpuas hati sekadar meraih satu mata.

“Kalau kita tengok prestasi pasukan sepanjang 90 minit, saya rasa kita layak untuk menang malam ini. Berbanding pihak lawan, kita mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol,” katanya selepas tamat aksi.

Di sebalik mengakui pertemuan dengan PDRM FC menghasilkan saingan sukar, jurulatih berusia 64 tahun itu berasa ralat kerana kerja keras pemain-pemainnya sepanjang 90 minit tidak membuahkan habuan diharapkannya.

Devan meninggalkan skuad Jang untuk membimbing Melaka FC bagi musim 2024/25. Facebook/Negeri Sembilan FC

Meski tidak dinyatakannya, pengalaman dan ketangkasan bekas penjaga gol Kedah Darul Aman (KDA) FC, Afwat Ikmal Chek Kassim, selaku benteng terakhir The Cops menjadi faktor halangan terbesar yang menafikan Melaka FC kutipan mata penuh.

Sekurang-kurangnya dua peluang jaringan daripada Melaka FC pada minit-minit akhir, termasuk daripada kapten, Nasir Basharudin, dapat digagalkan penjaga gol ‘montel’ itu.

“Pemain-pemain saya dapat bersaing dengan baik kerana mereka telah bekerja keras sepanjang 90 minit. Kita ada peluang yang baik untuk menjaringkan gol.

“Itu yang saya rasa kalau kita dapat menggunakan peluang yang kita cipta itu, mungkin kita boleh dapat tiga mata pada malam ini,” katanya.

Selepas kali terakhir membimbing NSFC ke tangga keempat Liga Super musim 2022 dan tangga kelapan musim 2023, Devan memilih angkat kaki untuk menyertai Melaka FC dalam Liga A1 Semi-Pro pada 2024/2025 – saingan yang sama sekali berbeza untuk dinobatkan juara mengatasi Imigresen FC.

Devan membimbing Melaka FC untuk menjuarai Liga A1 Semi Pro musim lalu. Facebook/AFL

Kembali ke saingan Liga Super musim ini, kekayaan pengalamannya semata-mata belum cukup untuk melonjakkan Melaka FC agar dapat berdiri sebaris dengan pasukan-pasukan besar melainkan perlukan masa untuk mematangkan pasukan.

Beberapa pemain berpengalaman diserapkannya, antaranya Irfan Zakaria dari KDA FC, Che Rashid Che Halim dan Aroon Kumar dari NSFC, Umar Hakeem dan Aiman Danish dari JDT II serta Shahrel Fikri Ahmad Fauzi dari PDRM FC.

Tenaga importnya pula membariskan Jun Badelic, Vitor Carvalho, Gu Dae-yeob, Charles Dabao, Michael Ozor, Patrick Thomaz, Danilo Magalhaes, Anderson Brito dan Juan Douglas – sembilan kesemuanya yang tidak membayangkan mereka kerdil dibandingkan pasukan lain.

“Saya tengok dengan ketibaan Gu (Dae-yeob), pertahanan kita begitu baik sekali hasil gandingannya dengan Vitor (Carvalho).

“Danilo (Magalhaes), pemain tengah kita, juga telah menunjukkan permainan yang baik untuk perlawanan pertamanya.

Irfan Zakaria antara pemain berpengalaman yang kini beraksi buat Melaka FC. Facebook/Melaka FC

“Mungkin keserasian di kalangan pemain di mana pergerakan dan hantaran akan mengambil masa untuk pemain-pemain baru menyesuaikan diri dengan corak permainan, taktikal pasukan dan juga individu pemain dalam pasukan,” katanya.

Sambil itu, Devan mengharapkan kembalinya penyerang utama, Juan Douglas, dan Patrick Thomaz daripada kecederaan untuk memuncakkan cabaran mereka semula selepas ini.

Kesebelasan penuh dijangkakannya dapat diturunkan ketika berhadapan dengan Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 29 Ogos.

“Sudah tentu kita tak mau kalah dengan Sabah walaupun kita bermain di tempat lawan. Semangat juang yang sama seperti ini dan disiplin bertahan yang baik akan jadi bekalan.

“Kalau saya dapat kumpulkan kesebelasan terbaik, mungkin kita boleh memberi saingan yang baik di Sabah,” katanya lagi.

Mungkin Devan segan untuk menyatakannya tapi apa yang dimaksudnya ialah kemenangan pertama yang diharap-harapkannya akan terhasil di Kota Kinabalu.

Buat Devan, selamat kembali ke saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram