DOMINASI Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam arena bola sepak tanah air bukan sahaja dapat disaksikan di atas padang, malah kegemilangannya juga boleh dirasai dari segi penjenamaan pasukan.
Ini kerana sekiranya hendak dibandingkan dengan kelab-kelab tempatan yang lain, pasukan Selatan tanah air itu jauh meninggalkan mereka dari segi nilai domestik.
Segala kejayaan itu boleh dikatakan hasil daripada perancangan teliti pemilik, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana kesungguhannya menaikkan kelab tersebut sukar diperlekehkan.
BACA LAGI: Akan ada masanya kita tak menang apa-apa — TMJ
BACA LAGI: 'Jangan bodohkan penyokong sendiri', TMJ persoal kenyataan jurang JDT-Selangor makin kecil

JDT hari ini merupakan sebuah kelab yang cukup megah di dalam dan luar padang.
Dari segi perancangan di atas padang, strategi diterapkan sejak bertahun-tahun lamanya mula membuahkan hasil apabila skuad Harimau Selatan sukar diatasi mana-mana pasukan tempatan.
Dalam aspek penjenamaan pula, JDT mempunyai imej tersendiri yang membolehkan pihak pengurusan membawa masuk penajaan bertaraf antarabangsa, sekali gus menyuntik ke arah pembangunan pasukan.
Bagaimanapun, setiap kejayaan dikecapi itu sudah tentu mustahil untuk disaksikan sekiranya Tunku Ismail tidak menceburkan diri dalam arena bola sepak tanah air.
Penglibatan paling awal daripada pemilik JDT itu dapat disaksikan tepat pada 4 September 2012 yang ketika itu menyaksikan Johor FA dan Johor FC bertembung di Stadium Larkin, Johor untuk aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia.
Selepas berakhirnya perlawanan itu, Tunku Ismail turun ke padang dan melaungkan janji bahawa segala usaha akan diambil untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak di negeri terbabit.

Pelbagai usaha diambil Tunku Ismail (dua dari kiri) dalam membina legasi bola sepak Johor.
Langkah kemudian diambil dengan menyaksikan Tunku Ismail dipilih sebagai Presiden Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sebelum menyatakan hasrat untuk menyaksikan hanya satu pasukan mewakili negeri terbabit.
Cadangan tersebut diterima apabila pada 2013, JDT ditubuhkan dan bermula saat itu, kelab Selatan tanah air berkenaan mula digeruni selepas pelbagai pembaharuan dibuat.
Hasil daripada pelaburan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan semakin disegani dengan kejayaan demi kejayaan diraih, termasuk menjuarai 11 takhta Liga Super berturut-turut.
Tidak cukup dengan itu, pasukan berkenaan turut meletakkan diri dalam buku sejarah bola sepak negara apabila menjadi wakil Asia Tenggara pertama menjuarai Piala AFC.
Pencapaian diraih JDT ketika ini membuktikan bahawa janji ditabur Tunku Ismail ketika aksi 'Derby Johor' genap 13 tahun lalu itu bukan hanya kata-kata kosong, namun ikrar yang tidak pernah pudar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
