Rebut tiket ke Piala Asia, 3 bintang berpotensi debut perlu manfaat aksi lawan Singapura


  • Podium
  • Khamis, 04 Sep 2025

Harimau Malaya dilihat cukup bersedia untuk melayan kunjungan Singapura dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Khamis. — Malaysia NT

SKUAD Harimau Malaya bakal memulakan dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin sebagai persiapan menghadapi baki saingan Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bersambung Oktober ini.

Perlawanan pertama akan menyaksikan Malaysia turun menentang seteru serantau, Singapura pada Khamis (4 Ogos) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, manakala aksi kedua menentang Palestin dijadual berlangsung empat hari kemudian di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski telah memanggil beberapa muka baharu ke kem latihan pusat kali ini dan peluang keemasan menanti mereka untuk membuktikan kemampuan sekali gus menempah tempat ke Piala Asia 2027.

BACA LAGI: [VIDEO] Luka lama masih berdarah, Singapura tunjuk Harimau Malaya jalan keluar kali terakhir berentap di Bukit Jalil

BACA LAGI: Anggap seolah-olah dilupakan, Milos Gordic tertanya-tanya kenapa wujud 2 kelab di Kedah

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang masih menantikan debut bersama skuad kebangsaan dan dijangka mencuri tumpuan dalam aksi menentang Singapura nanti.

1. Richard Chin

Pemain kelahiran England, Richard Chin akhirnya berada di ambang untuk menyarung jersi Harimau Malaya selepas penantian selama lima tahun.

Sebelum ini, kecederaan serius pada Februari 2024 dan kekurangan minit permainan menghalang penyertaannya bersama skuad Bawah 23 Malaysia dalam saingan Piala Asia B-23.

Pemain kelahiran England, Richard Chin antara muka baharu yang dipanggil ke kem kebangsaan. — Malaysia NT

Namun kini, dengan peluang yang diberikan oleh Cklamovski, pemain berusia 22 tahun itu akhirnya berpeluang untuk membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan yang akan datang.

Ia merupakan peluang keemasan buat Richard untuk membuktikan kemampuannya, sekali gus meyakinkan barisan kejurulatihan bahawa beliau layak kekal dalam skuad utama menjelang kempen kelayakan Piala Asia yang bakal bersambung Oktober nanti.

2. Suhaimi Husin

Penjaga gol berpengalaman Terengganu FC, Suhaimi Husin turut dipanggil ke kem kebangsaan meskipun masih belum melakukan penampilan pertamanya bersama skuad senior.

Persaingan di posisi penjaga gol utama bukan mudah, dengan kehadiran nama-nama besar seperti Ahmad Syihan Hazmi, Azri Ghani dan Haziq Nadzli.

Penjaga gol berpengalaman Liga Super, Suhaimi Husin. — Malaysia NT

Namun, usia dan pengalaman Suhaimi boleh menjadi kelebihan jika berjaya mempamerkan prestasi cemerlang dalam aksi persahabatan kali ini.

Peluang yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya mahu terpilih ke dalam skuad akhir untuk Kelayakan Piala Asia.

3. Nathaniel Shio Hong Wan

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nathaniel Shio Hong Wan mendapat panggilan ke skuad kebangsaan bagi menggantikan Hector Hevel yang mengalami kecederaan.

Sebelum ini hanya berada dalam Senarai Bersedia, Hong Wan kini berpeluang membuktikan kemampuannya mengemudi jentera tengah Harimau Malaya.

Hong Wan yang berada di Senarai Bersedia sebelum ini dipanggil untuk menggantikan posisi Hevel. Malaysia NT

Dengan adanya pengalaman beraksi bersama juara bertahan Liga Super sebelum ini, pemain berketinggian 1.76 meter tersebut berpotensi menjadi aset penting oasukan sekiranya diberi kepercayaan.

Penampilan cemerlang dalam aksi persahabatan ini boleh membuka laluan untuknya merebut tempat ke Piala Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram