
KELAB gergasi bola sepak tanah air yang terkenal dengan barisan pemain berkualiti dan jaringan tinggi, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuching City FC dalam saingan Liga Super 2025/26 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Negeri Sarawak pada Ahad.
Keputusan tersebut sedikit mengejutkan penyokong Harimau Selatan yang biasa menyaksikan pasukan itu meraih lebih dari tiga gol dalam setiap perlawanan.
Namun, pada pertemuan kali ini, Harimau Selatan dilihat kurang tajam di bahagian serangan dan gagal menghasilkan jaringan besar.
BACA LAGI: [VIDEO] Naik angin lepas sia-sia kelebihan 2 gol lawan JDT, coach futsal Sabah ditumbuk staf sendiri
TMJ kekal tenang dan menegaskan pentingnya bersyukur walaupun JDT berdepan cabaran getir menembusi pertahanan lawan.
Kelemahan jentera serangan JDT itu turut dikaitkan dengan fasa penyesuaian pasukan yang masih dalam proses mencari persefahaman antara pemain.
Musim ini menyaksikan kemasukan ramai wajah baharu ke dalam skuad utama, sekali gus memerlukan masa untuk membina keserasian antara mereka.
Melihat kepada situasi tersebut, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan pandangan tenang dan penuh keyakinan terhadap prestasi pasukannya.
Meskipun Harimau Selatan dilihat bergelut untuk menembusi benteng pertahanan pasukan tuan rumah, Tunku Ismail menekankan kepentingan untuk kekal positif dan bersyukur dengan kemenangan yang diperoleh.
“Dalam bola sepak, apa sahaja boleh terjadi. Tetapi jikalau anda masih ‘menang’, ketika segalanya berlaku, kita harus bersyukur,” ujar Tunku Ismail di ruangan komen Instagram, officialjohor.
Skuad Harimau Selatan bergelut menembusi benteng pertahanan tuan rumah dan hanya mampu membawa pulang kemenangan tipis 1-0 ke Johor. — Facebook/JST
Tunku Ismail atau dikenali sebagai TMJ turut mengingatkan agar penyokong supaya melihat gambaran yang lebih besar dan tidak terlalu terburu-buru membuat kesimpulan berdasarkan prestasi satu dua perlawanan sahaja.
Menurut TMJ, statistik dan fakta menunjukkan ada masanya pasukan tidak akan memenangi apa-apa dan itu adalah sebahagian daripada perjalanan sukan.
“Sentiasa lihat gambaran dengan lebih besar. Statistik dan fakta tidak menipu. Akan ada masanya nanti kita tidak akan memenangi apa-apa,” tambah TMJ.
Pemilik JDT itu juga menasihati supaya penyokong tidak menjadi terlalu emosi atau ‘gila’ dalam menghadapi naik turun prestasi pasukan kegemaran mereka.
“Itulah kehidupan, terutama dalam sukan. Sehingga waktu itu tiba, tiada gunanya kita jadi gila,” jelasnya.
Kemenangan 1-0 itu membolehkan JDT kekal mengungguli kedudukan teratas Liga Super, namun prestasi yang kurang meyakinkan kali ini pasti menjadi perhatian pasukan kejurulatihan dalam usaha memperbaiki mutu permainan sebelum menghadapi perlawanan-perlawanan penting seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram