
GRIMSBY Town dikenakan denda sebanyak £20,000 (RM118,000) selepas didapati menurunkan pemain tidak didaftarkan ketika mencatat kemenangan bersejarah menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United dalam saingan Piala Carabao baru-baru ini.
Dalam aksi penuh dramatik berkenaan The Mariners berjaya menyingkirkan United menerusi penentuan sepakan penalti 12-11, selepas terikat 2-2 dalam aksi dramatik di Blundell Park, North East Lincolnshire, England.
Namun, kemenangan itu tercalar selepas mereka didapati menurunkan pemain tengah pinjaman dari Bradford City, Clarke Oduor, yang pendaftarannya dibuat lewat satu minit daripada tarikh akhir pukul 12.00 tengah hari (7.00 malam waktu Malaysia).
BACA LAGI: Man United tawar harga diskaun, petanda jelas mahu lepaskan Mainoo
Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) dalam kenyataan menjelaskan Grimsby sendiri tampil melaporkan pelanggaran tersebut dan menegaskan bahawa kesilapan itu tidak disengajakan serta tiada unsur penipuan.
"Ketidakpatuhan kelab ini bukanlah satu tindakan yang berniat jahat atau untuk mengelirukan,” jelas badan pengelola itu.
Sehubungan itu, Grimsby diarahkan membayar £10,000 (RM59,000) dengan segera, manakala baki £10,000 lagi perlu dilunaskan sebelum penghujung musim ini.
Menurut EFL, keputusan tersebut diambil selepas menilai semua bukti serta mengambil kira kes-kes terdahulu melibatkan pelanggaran peraturan pertandingan.
Skuad kendalian David Artell itu dijadualkan menentang pasukan bergelut dari Championship, Sheffield Wednesday pada pusingan ketiga Carabao Cup hujung bulan ini.
Oduor adalah satu-satunya pemain Grimsby yang terlepas sepakan penalti dalam kemenangan penentuan epik 12-11 ke atas Manchester United. — Agensi
Dalam kenyataan rasmi kelab, Grimsby mengakui pendaftaran Oduor dihantar lewat kerana masalah komputer.
Pihak kelab turut menegaskan sudah melakukan semakan semula terhadap prosedur dalaman serta memperkukuh langkah-langkah bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.
"Kami menerima hukuman ini dengan penuh tanggungjawab dan menyedari kepentingan untuk sentiasa mematuhi peraturan. Kesilapan ini tidak disengajakan, malah kami bertindak telus dengan melaporkannya sendiri sebaik sahaja ia disedari.
"Kami berterima kasih kepada pihak EFL kerana mengiktiraf kerjasama kami. Grimsby kekal komited untuk mengekalkan standard profesionalisme dan pematuhan peraturan pada tahap tertinggi," kata kelab itu.
Dalam tiga insiden terdahulu melibatkan pemain tidak berdaftarkan diturunkan dalam saingan ini, kelab yang melakukan kesilapan turut dikenakan denda.
Liverpool, Accrington Stanley dan Sunderland adalah antara kelab terbabit dan sama seperti Grimsby, mereka juga menang dalam perlawanan masing-masing. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram