
SIASATAN kes serangan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim masih boleh diteruskan sekiranya terdapat petunjuk baharu pada masa akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, memandangkan kes berkenaan bersifat jenayah, ia tidak tertakluk kepada had masa tertentu seperti kes sivil.
BACA LAGI: Ramai tahu nombor 10 Selangor ini ada sejarah tersendiri — Mukhairi
Serangan asid itu menyebabkan Faisal mengalami lecur tahap empat di beberapa bahagian badan.
"Jika terdapat sebarang petunjuk baharu pada masa hadapan, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes ini masih boleh dijalankan," katanya.
Menurut Azalina, maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis berhubung insiden serangan asid yang berlaku di Kota Damansara, Selangor.
"Bagaimanapun, AGC selepas meneliti maklumat dan dokumen berkaitan mendapati tiada kenyataan yang boleh membawa kepada tindakan lanjut," katanya.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN–Alor Setar), yang meminta penjelasan berkenaan keputusan AGC mengklasifikasikan kes tersebut sebagai 'tiada tindakan lanjut' (NFA).
Dalam kejadian pada 5 Mei tahun lalu, Faisal, 27, yang merupakan penjaring terbanyak Piala Asia 2023, menjadi mangsa serangan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Serangan itu menyebabkan beliau mengalami lecur tahap empat di beberapa bahagian badan.
Susulan pengkelasan kes sebagai ‘tiada tindakan lanjut’, Faisal menerusi peguamnya menyuarakan rasa kecewa yang mendalam terhadap penutupan siasatan tersebut. — The Star/GERARD GIMINO/TARRENCE TAN/DAN ARFA YUNUS
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram