‘Flop’ di NSFC, bek Nigeria dipersoal jadi pilihan Perak FA bukannya penyerang


  • Podium
  • Rabu, 03 Sep 2025

Kehadiran Abu ke dalam skuad Perak dianggap sebagai langkah strategik oleh pihak pengurusan bagi menambah kekuatan pasukan. — Facebook

PERAK FA mengumumkan berita gembira dengan kehadiran pemain pertahanan dari Nigeria, Aliyu Abubakar yang secara rasmi menyertai skuad mereka bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/26.

Perkara itu disahkan menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelab pada Rabu, yang mana Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Haji Azhar Jamaluddin menyambut baik ketibaan pemain berusia 29 tahun itu.

"Selamat datang Aliyu Abubakar. Presiden PAFA, Datuk Haji Azhar Jamaluddin, mewakili seluruh warga Perak FA mengucapkan selamat datang kepada pertahanan berusia 29 tahun dari Nigeria.

BACA LAGI: Anggap seolah-olah dilupakan, Milos Gordic tertanya-tanya kenapa wujud 2 kelab di Kedah

BACA LAGI: [VIDEO] Luka lama masih berdarah, Singapura tunjuk Harimau Malaya jalan keluar kali terakhir berentap di Bukit Jalil

"Semoga kehadiran Abu dapat memperkuat benteng pertahanan pasukan Perak dan menjadi tonggak utama dalam mempertahankan maruah serta semangat bola sepak negeri," katanya.

Aliyu atau lebih dikenali sebagai Abu, bukanlah nama asing di pentas antarabangsa kerana dia merupakan sebahagian daripada skuad Nigeria yang menjuarai Piala Dunia Bawah 17 Tahun FIFA 2013.

 Aliyu Abubakar sah menyarung jersi Perak FA. — Facebook

Kariernya kemudian terus berkembang dengan penampilan bersama skuad Nigeria B-17, B-20, B-23 dan akhirnya skuad senior pada 2019.

Musim lalu, Abu beraksi bersama Negeri Sembilan FC dalam Liga Malaysia, dengan 15 penampilan direkodkan.

Pengalamannya di peringkat antarabangsa dan domestik dijangka menjadi aset penting dalam mengukuhkan barisan pertahanan Perak.

Namun begitu, kehadiran pemain berketinggian 1.88 meter itu tidak terlepas daripada kritikan penyokong Negeri Sembilan, yang meragui kemampuan Abu selepas prestasinya sebelum ini dianggap kurang memberangsangkan.

Malah, ada juga yang mempertikaikan mengapa Perak FA memilih membawa masuk pertahanan dan bukannya penyerang untuk memperkuatkan pasukan.

“Sebagai penyokong Negeri Sembilan, aku nak cakap yang dia ini tak boleh pergi jauh, menghabiskan beres saja,” kata Hanif Ahmad.

“Barai oh dia main pertahanan Negeri Sembilan,” kata Syarizal Satar.

“Lahh pertahanan rupanya, sangka penyerang,” ujar Sahriman Iman Tpeng.

“Tak nak ambil penyerang ke?” soal Pak Khay berseloroh.

Walaupun menerima reaksi bercampur, penyertaan Abu ke dalam pasukan Perak tetap dianggap sebagai langkah strategik oleh pihak pengurusan bagi menambah kekuatan skuad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram