Lepas kehadiran Facundo Garces, media Argentina lapor penyerang kelab lama Bergson akan sertai HM


  • Podium
  • Isnin, 02 Jun 2025

Garces kini menyarung jersi Deportivo Alaves di La Liga. — Agensi

TIADA angin tiada ribut, skuad kebangsaan Malaysia menerima suntikan semangat baharu apabila secara rasmi mengumumkan kehadiran pemain pertahanan tengah, Facundo Garces ke dalam Harimau Malaya.

Pemain kelahiran Argentina berusia 25 tahun itu sudah melengkapkan segala proses pendaftaran dan kelayakan untuk mewakili Malaysia dan kini sedia diturunkan dalam aksi antarabangsa yang akan datang.

Garces yang mempunyai pengalaman beraksi dalam liga utama Argentina dan baru-baru ini bersama Deportivo Alaves di La Liga, dilihat sebagai tambahan yang berkualiti tinggi kepada skuad kendalian ketua jurulatih Peter Clamovski.

BACA LAGI: 'Saya belajar dari YouTube', Gabriel Palmero sering berlatih Negaraku sebelum debut skuad Harimau Malaya

BACA LAGI: Kepantasan, 'combination play' kunci Harimau Malaya hadapi cabaran fizikal sasa pemain Afrika

Memetik hantaran dari Facebook rasmi Harimau Malaya, Malaysia NT, Clamovski optimis bahawa Garces merupakan pemain yang memiliki karakter serta kepimpinan yang luar biasa di atas padang.

"Facundo mempunyai perwatakan yang kuat. Seorang pertahanan yang tenang dengan personaliti yang hebat serta pengalaman di peringkat tertinggi. Dia sangat bersemangat untuk mewakili Malaysia dan berbangga dalam mengharumkan nama negaranya,” ujar Clamovski.

Dalam pada itu, pertahanan berketinggian 1.89 meter berkenaan turut meluahkan rasa bangga dan keterujaannya selepas menyertai kem latihan kebangsaan sempena jendela antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan ini.

"Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ini adalah satu penghormatan yang luar biasa. Sejak tiba, saya telah merasai kehangatan, semangat kekeluargaan, dan sokongan yang ikhlas dari semua.

"Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya bila seluruh negara dan penyokongnya berdiri teguh bersama kami. Saya bersedia memberikan segala-galanya demi Malaysia," katanya.

Garces kini disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya untuk menghadapi perlawanan penting Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam, dan dijangka menjadi antara watak utama dalam usaha Malaysia memperkukuh barisan pertahanan mereka.

Menjengah media sosial, rata-ratanya gembira dengan kehadiran Garces dengan penyokong bola sepak tanah air melabel pertahanan itu sebagai pemain warisan gred A susulan pengalamannya dalam saingan La Liga.

Tidak cukup dengan kehadiran Garces, media Argentina melaporkan bahawa skuad kebangsaan juga akan menerima satu lagi pemain warisan iaitu Imanol Machuca yang difahamkan beraksi di posisi penyerang kanan.

"Facundo Garces dan Imanol Machuca akan bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia," ciapan ringkas daripada Radio Gol Santa Fe di platform X pada Isnin.

Berdasarkan laman Transfermarkt, Machuca merupakan pemain berusia 25 tahun yang beraksi untuk kelab Brazil iaitu Fortaleza dengan baru-baru ini dia dipinjamkan ke pasukan Argentina, Velez Sarsfield.

Sekiranya apa yang dilaporkan media Argentina mengenai Machuca benar, barisan hadapan Harimau Malaya semakin mempunyai pilihan apabila sebelum ini Rodrigo Holgado dan Jefte Betancor turut dikaitkan dengan Malaysia. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram