
HEBOH diperkatakan di media sosial mengenai pertalian darah bek negara, Facundo Farces yang dikatakan sudah melanggar peraturan FIFA untuk menjadi pemain warisan.
Dalam satu temu bual bersama media Sepanyol, pemain Deportivo Alaves itu menyatakan tidak sangka akan berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya kerana susur galurnya.
Bagaimanapun, kenyataan dikeluarkan itu adalah sedikit meragukan kerana dia mengatakan moyangnya berdarah Malaysia dengan ia jelas melanggar peraturan berhubung bab pemain warisan.
BACA LAGI: Lepas kehadiran Facundo Garces, media Argentina lapor penyerang kelab lama Bergson akan sertai HM
BACA LAGI: Jangan tunggu lagi, 3 bintang warisan baharu wajar turun berdepan Vietnam
Garces sudah membuktikan nilainya dalam skuad kebangsaan selepas mencipta debut.
Perkara itu kemudian menjadi bahan bualan, terutamanya dalam kalangan peminat bola sepak Indonesia yang mengatakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan didenda.
Menjawab akan perkara itu, pemain berusia 25 tahun itu memberi kenyataan balas menerusi hantaran di Instastory peribadinya dengan menjelaskan ia merupakan kesilapan pihak media tersebut.
"Ia hanyalah satu kesilapan dari segi transkripsi. Saya berdarah Malaysia mengikut pertalian darah datuk saya dan saya berbangga beraksi buat negara sendiri, jumpa anda tidak lama lagi," tulisnya.
Ini bukanlah kali pertama peminat skuad Garuda memasang cita-cita untuk melihat FAM dihukum kerana mereka kerap mempersoalkan pertalian darah pemain warisan.
Hal tersebut kerana masing-masing mahu melihat susur galur sebenar bintang yang baru diberi kepercayaan dalam pasukan negara memandangkan ada daripadanya sedikit meragukan.
Garces memberi penjelasan mengenai susur galurnya yang menjadi buah mulut sesetengah peminat.
Respons diberikan Garces sememangnya melegakan peminat bola sepak tanah air yang kembali yakin akan penglibatannya bersama Harimau Malaya selepas mencipta debut ketika berdepan Vietnam pada Jun lalu.
Meskipun baru sahaja diturunkan sekali, ramai berasa yakin bahawa pemain pertahanan itu dapat menjadi komponen utama buat Peter Cklamovski dalam usaha melayakkan diri ke Piala Asia 2027.
Selain itu, status Garces sebagai pemain warisan dapat melebarkan nama negara hingga ke Eropah selepas dia menjadi pemain Malaysia pertama beraksi dalam saingan LaLiga.
Ini merupakan satu kebanggaan buat penyokong yang mahu melihat lebih ramai pemain berdarah kacukan Gred A untuk beraksi buat Harimau Malaya, sekali gus menaikkan kualiti pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram