BAM enggan dibuai syoknya gelaran juara dunia, emas Olimpik kekal misi utama


  • Podium
  • Rabu, 03 Sep 2025

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bergelar juara selepas memenangi Kejohanan Dunia.

WALAUPUN Malaysia berjaya mendapatkan kejuaraan di Kejohanan Dunia baru-baru ini, ia tidak melunturkan misi utama mereka yang bersifat jangka panjang.

Misi tersebut adalah untuk membawa pulang pingat emas dalam Sukan Olimpik 2028 yang bakal diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, memenangi Kejohanan Dunia menerusi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei adalah manis namun fokus utama masih belum dicapai.

BACA LAGI: Muncul juara dunia, Tang Jie-Ee Wei tempah awal slot Jelajah Dunia Akhir

BACA LAGI: Coach Rexy Mainaky pesan selalu tarik nafas, jangan ‘overthinking’ — Tang Jie-Ee Wei

Datuk Kenny Goh

Kata Kenny, semuanya masih lagi berada dalam perancangan selepas berjaya mendapat kejuaraan dari Kejohanan Dunia.

"Sasaran utama kami adalah Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles. Kami ada perancangan dengan beberapa sasara, dan apa yang paling penting adalah pemain dan jurulatih menepati sasaran tersebut.

"Jika mereka berjaya mencapainya, ia menunjukkan yang kita masih pada landasan yang tepat," ujar Kenny.

Kenny mengambil contoh persembahan longlai skuad negara di kejohanan Seluruh England sebagai bukti BAM tidak mudah melatah.

Walaupun ada sebahagian penyokong yang kecewa, namun BAM menganggap situasi tersebut sekadar persinggahan sebelum ke sasaran sebenar.

"Ambil contoh ketika kejohanan Seluruh England pada Mac. Kami pulang dengan keputusan mengecewakan dan ada suara yang mengatakan kami gagal dan mahu BAM melakukan perubahan.

"Sebenarnya, bukanlah kami tidak mahu berubah, namun kita mesti lihat kepada perancangan jangka panjang.

"Selagi kami mencapai sasaran, kami berada pada landasan yang betul. Jika kami ketinggalan di belakang, sedikit perubahan akan dilakukan. Kami tidak boleh kenakan 'hukuman mati' hanya disebabkan (persembahan) Seluruh England," jelasnya. — The Star/ADAM ZAMRI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram