Coach Rexy Mainaky pesan selalu tarik nafas, jangan ‘overthinking’ — Tang Jie-Ee Wei


  • Podium
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Reaksi Tang Jie (kanan) dan Ee Wei ketika bertemu gandingan China, Jiang Zhen Bang Jiang dan Wei Ya Xin. — Reuters

HADIAH Hari Kebangsaan ke-68 paling bermakna buat Malaysia apabila beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara dunia selepas menewaskan gandingan no.2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia di Adidas Arena, Paris, Perancis pada Ahad.

Pasangan yang kini menghuni ranking keempat dunia itu membuktikan kelas tersendiri apabila menundukkan lawan yang sebelum ini sering menjadi penghalang, termasuk mencatat tiga kemenangan dalam empat pertemuan terakhir.

Beregu negara yang turun selaku pilihan keempat kejohanan bermula garang dengan memenangi set pertama 21-15 sebelum merangkul kemenangan dengan keputusan 21-14 dalam tempoh 39 minit.

BACA LAGI: Pearly-Thinaah cipta sejarah paling bermakna buat Malaysia sempena bulan Kebangsaan

BACA LAGI: Terbuka Jepun: Pearly Tan-Thinaah, Sze Fei-Izzuddin kecundang di pentas akhir

Tang Jie-Toh Ee Wei yang mempamerkan keserasian mantap bermula garang apabila mendahului 11-6 sebelum terus menguasai perlawanan untuk menamatkan set pertama dengan kemenangan bergaya.

Beregu negara itu sekali lagi membuat permulaan cemerlang dalam set kedua apabila mendahului 10-5, namun Jiang Zhenbang-Wei Yaxin cuba bangkit dan merapatkan jurang pada kedudukan 12-14.

Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei kekal tenang dan tidak goyah untuk memastikan kemenangan mutlak sekali gus menghadiahkan pingat emas berprestij buat Malaysia.

"Kami hanya bermain dengan penuh keyakinan kerana sudah beraksi baik sepanjang beberapa hari lalu. 

"Kami tidak mahu terlalu memikirkan banyak perkara, sebaliknya menumpukan perhatian pada setiap mata sambil saling memberi sokongan antara satu sama lain.

“Kami tahu beregu China sangat kuat dan pasti memberikan tekanan, tetapi kami cuba untuk tidak membiarkan ia menjejaskan permainan kami," kata Ee Wei dalam temu bual pascaperlawanan bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF). 

Tang Jie-Ee Wei turut meluahkan penghargaan kepada jurulatih Nova Widianto dan pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky yang sentiasa mengingatkan mereka supaya kekal tenang walaupun berdepan situasi tegang di gelanggang.

"Sebelum ini, kami sering melakukan kesilapan dan mula berasa kecewa. 

"Kali ini, kami membuat perubahan dengan kembali fokus kepada apa yang perlu dilakukan dan terus berpegang pada perancangan walaupun melakukan kesilapan.

"Jurulatih juga tidak putus-putus mengingatkan kami supaya menarik nafas dalam-dalam, dan itu banyak membantu menenangkan fikiran serta meningkatkan mutu permainan kami di gelanggang," jelasnya. 

Kejayaan berkenaan menjadikan mereka hanya pasangan kedua Malaysia bergelar juara dunia selepas kejutan manis yang dilakar beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada edisi 2022 di Tokyo.

Lebih manis, kemenangan itu hadir selepas pasangan campuran negara itu pernah berpisah selama lima bulan pada awal tahun ini akibat perbezaan, namun kembali digandingkan dan membuktikan kesepakatan luar biasa di gelanggang.

Bukan itu sahaja, Malaysia juga berjaya menamatkan dominasi China dalam acara beregu campuran selepas gergasi badminton dunia tersebut mendakap gelaran berkenaan sebanyak 10 kali.

Kejayaan itu turut memberi makna istimewa kepada jurulatih, Nova Widianto yang membimbing Tang Jie-Ee Wei, tepat 20 tahun selepas beliau sendiri merangkul emas bersama Liliyana Natsir di Anaheim pada 2005.

Pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini hanyalah pingat gangsa menerusi gandingan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty pada edisi 2006 di Madrid. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram