Dulu famili sekarang 'musuh' atas padang, Victor Andrag dikesan hadir 'usha' aksi Sang Kenari


  • Podium
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Bekas pengendali Sang Kenari, Victor Andrag dikesan hadir menyaksikan perlawanan antara KDA FC dan Machan FC baru-baru ini. — Facebook/Jusnaidi Gysc

KETUA Jurulatih Kedah FA (KFA), Victor Andrag dikesan hadir menyaksikan perlawanan antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Machan FC dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025 yang berlangsung di Stadium Mini MPKP, Jitra, Kedah pada Ahad.

Kehadiran bekas pengendali skuad Sang Kenari itu menarik perhatian penyokong yang turut hadir, apabila beliau dilihat berada di kawasan tempat duduk penonton sepanjang aksi berlangsung.

Perkara itu turut dikongsikan oleh penyokong KDA FC, Jusnaidi Gysc menerusi media sosial yang memuat naik foto kehadiran Victor.

Victor Andrag kini mengemudi Kedah FA bagi musim 2025/2026.  Facebook/KFA

"Kehadiran kerana rindu atau datang tengok corak permainan, kelibat coach Victor Andrag kesayuan," katanya.

Sebelum ini, Victor dilantik sebagai jurulatih sementara KDA FC bagi menggantikan Nafuzi Zain pada November 2024 lalu.

Dia memulakan tugas sebagai jurulatih skuad Piala Presiden Kedah bermula 2014 hingga 2019 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jurulatih sementara KDA FC, menggantikan Aidil Sharin Sahak bagi baki saingan Liga Malaysia pada Oktober 2022.

Sepanjang kariernya, Victor muncul sebagai pemain penting skuad ‘Double Treble’ Kedah pada 2007 dan 2008 dan pernah diberi gelaran Kapten Marvel oleh penyokong Hijau Kuning.

Walaupun tujuan sebenar kehadiran Victor tidak dinyatakan, kehadiran beliau mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat yang masih mengingati jasanya ketika mengendalikan skuad Hijau Kuning musim lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram