
PERLAWANAN pertama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga A1 Semi Pro menjadi detik yang cukup menyentuh hati buat para penyokong Sang Kenari apabila pasukan kesayangan mereka dilihat berada di tahap paling rendah dalam sejarah kewujudannya di arena bola sepak tanah air.
Kehadiran penyokong setia yang turun ke stadium memberi semangat kepada pasukan tidak dapat menutup realiti getir yang sedang dilalui KDA FC.
Menurut reaksi daripada salah seorang penyokong tegar yang hadir, Fuad Lyn di laman Facebook sempat berkongsikan keadaan kelab yang amat membimbangkan.
BACA LAGI: Pernah berlatih bersama skuad utama, prospek JDT kini berkelana ke Portugal
BACA LAGI: Kuota pemain tempatan bertambah tapi siapa sebenarnya dapat peluang sebenar?
"KDA FC memang benar-benar berada di titik terendah dalam sejarah kewujudan Sang Kenari. Sebak jugak tengok," katanya.
Menyedari hakikat semasa, Fuad turut menyeru agar semua pihak termasuk pengurusan dan peminat bersikap realistik dengan meletakkan harapan yang sesuai terhadap prestasi semasa pasukan.
“Kalau KDA FC dapat mengelak daripada berada dalam kelompok tiga tercorot liga musim ini pun, itu sudah dikira pencapaian. Ada pemain yang kualiti bertaraf amatur, bukan semi pro. Apatah lagi bertaraf pro, kena faham dengan situasi dan masalah kelab. Tak boleh letak harapan tinggi," tambahnya.
Selain itu, gesaan turut dibuat agar pengurusan kelab, termasuk pemilik kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tampil dengan penjelasan terbuka mengenai hala tuju pasukan dan langkah penyelesaian terhadap isu-isu dalaman seperti transfer ban dan tunggakan gaji.
“Penyokong sudah buktikan sokongan, sekarang giliran kelab pula tampil dengan perancangan yang jelas. Kalau terus senyap, jangan salahkan penyokong kalau mula lantang bersuara,” jelasnya.
Meskipun dilanda pelbagai kemelut, Fuad tetap bersyukur kerana khazanah bola sepak negeri Kedah masih bernyawa.
Menurutnya, suasana di stadium yang lebih kecil tetap meriah dengan kehadiran penyokong dan dapat mencipta kenangan manis berkumpul bersama rakan-rakan.
“Walaupun hanya di ‘rumah kecil’, seronok dapat jumpa kawan-kawan dan paling penting, kita masih ada bola sepak untuk disokong," ujarnya.
Kedah FA turut beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini. — Facebook/PBSK
Pada masa sama, dia turut menyeru agar semua pihak memberi sokongan kepada kedua-dua wakil Kedah dalam Liga A1 iaitu KDA FC dan Kedah FA (KFA) demi maruah dan kesinambungan bola sepak negeri.
"Cuma nyatakan fakta dan bersikap lebih rasional. Sokonglah KFA atau KDA, tiada halangan, tak berdosa pun. Sama-sama kita hormat dan raikan," jelasnya.
Menyentuh isu kewujudan dua entiti bola sepak dalam satu saingan, beliau menegaskan keperluan untuk mewujudkan identiti berbeza demi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penyokong.
“Dalam bola sepak, mana mungkin ada dua entiti yang sama dalam satu saingan. Mustahil. Sebab itu KFA perlu tampil dengan wajah baharu, seperti yang diumumkan presiden sebelum ini," ujarnya.
Mengakhiri kenyataan, Fuad itu berharap tiada pihak salah faham terhadap pandangannya kerana segala yang dilontarkan adalah demi kebaikan bola sepak Kedah.
“Legasi lama telah dipindah milik oleh KFA tanpa bayaran. Ini fakta, yang penting, kita terus setia untuk legasi bola sepak negeri ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram