
MUSIM baharu untuk Liga Super semakin menghampiri sepak mulanya, pelbagai kelab sedang rancak mensiapkan pasukan dengan membawa masuk pemain.
Walaupun perpindahan sedang rancak berlaku, namun masih terdapat sisi gelapnya apabila masih ada pemain yang tercicir dan gagal mendapatkan tempat.
Masa semakin pantas, dengan kelab-kelab Liga Super serta Liga A1 dilihat sudah menyiapkan pasukan, pemain-pemain yang masih tiada kelab perlu segera risau terpaksa 'berehat' sebentar.
Ada yang buat resume
Ia dianggap perkara yang agak janggal bagi pemain bola sepak apabila mereka mengemaskini resume seperti hendak mencari kerja dalam profesion lain.
Tetapi itulah yang dilakukan oleh bekas pemain Terengganu FC dan Perak FC, Nor Hakim Hassan yang kini tidak bersama mana-mana kelab selepas dilepaskan oleh skuad Penyu pada penamat musim 2024/2025.
Pemenang Piala Malaysia 2018 bersama-sama The Bos Gaurus itu kini masih mencari-cari kelab hinggakan pasangannya, Nik Fatin memuat naik resume Hakim di media sosial untuk menarik perhatian.
Resume Nor Hakim Hassan yang dimuatnaik oleh isterinya. — Threads/nnickfatin
Tindakan tersebut jarang dibuat bagi pemain bola sepak, namun begitu ia mungkin boleh jadi ikutan untuk pemain-pemain lain yang masih mencari kelab baharu.
Hal ini kerana, sekurang-kurangnya terdapat sebuah liga yang memerlukan pemain untuk membawa resume mereka semasa memohon iaitu saingan Liga Perdana Singapura (SPL).
Cuba pandang ke Singapura
Saban musim, kita sering didedahkan dengan perkhabaran beberapa kelab Singapura mencari pemain baharu dengan menggunakan cara yang agak janggal.
Cara tersebut adalah dengan mengiklankan hebahan jawatan kosong di portal cari kerja, sama seperti dengan profesion lain.
Sebelum ini, beberapa kelab seperti Hougang United dan Tanjong Pagar United membuka pencarian pemain baharu menerusi portal cari kerja bagi menyiapkan pasukan bagi musim 2025/2026.
Tindakan dua kelab itu bukan pertama kali berlaku, namun ia sudah dilakukan sekian lama apabila pasukan dari Singapura ingin mendapatkan pemain baharu dari luar negara.
Hakim (tengah) pernah memenangi Piala Malaysia bersama Perak.
Hal ini kerana, setiap entiti di Singapura wajib menyiarkan iklan jawatan kosong bagi mematuhi syarat oleh Kementerian Tenaga Manusia Singapura seandainya mahu mendapatkan pemain dari luar negara.
Dengan Hakim sudah pun melakukan resume, mungkin dia boleh menghantarnya ke mana-mana kelab Singapura yang masih mencari pemain baharu.
Malah, pemain-pemain lain yang mungkin berada pada fasa 'panik' untuk dapatkan kelab, boleh cuba perkara serupa.
Ia mungkin tidak menjanjikan pulangan, namun tidak salah untuk mencuba.
Siapa sangka, rezeki musim baharu mungkin sedang menanti di seberang tambak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram