
MENJELANG lapan hari lagi sebelum saingan Liga Super membuka tirainya, masing-masing pasukan sepertinya sudah memperkenalkan skuad mereka yang dipenuhi beberapa wajah baharu dan tonggak sedia ada.
Bagaimanapun, bukan semua pemain musim lepas sudah mempunyai kelab apabila ada di antara dilaporkan masih tidak mempunyai kelab walaupun hakikatnya, mereka merupakan tonggak penting bersama kelab lama pada kempen musim lepas.
Misalnya ialah bekas pemain kebangsaan iaitu Nor Hakim Hassan apabila penyerang sayap berkenaan difahamkan masih belum menyertai mana-mana kelab sehingga kini selepas tidak berada dalam perancangan Terengganu FC (TFC).
BACA LAGI: Terengganu FC raih semangat daripada bas baharu, gandingan baharu
BACA LAGI: Kuching FC timba ilmu di Indonesia demi buru lonjakan berterusan
Selepas beberapa bulan masih tidak mendapat pinangan daripada sebarang kelab, Nor Hakim nampaknya mengambil pendekatan berbeza apabila membuat resume untuk memasarkan dirinya sementara jendela perpindahan masih dibuka.
Menerusi perkongsian isterinya yang menggunakan akaun Threads, nnikfatin memuat naik resume Nor Hakim dengan meletakkan kapsyen 'dear husband... terima kasih telah bekerja keras selama ini untuk kami'
Nor Hakim antara pemain tempatan yang mempunyai kualiti daripada segi kepantasan dan kawalan bola serta, ia merupakan antara faktor kelab Liga M boleh mengambil khidmatnya untuk menajamkan bahagian serangan.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif yang dilakukan Nor Hakim, pemerhati sukan tanah air iaitu Datuk Dr. Pekan Ramli berpendapat bahawa ia disifatkan sebagai satu inisiatif peribadi semata-mata dan bukan amalan biasa dalam landskap bola sepak negara.
Tangkap layar hantaran dari isteri Norhakim.
Beliau menjelaskan, walaupun usaha tersebut dilihat positif dalam memberikan gambaran latar belakang pemain kepada pihak media dan peminat, namun ia bukan satu keperluan dalam proses pencarian pemain oleh kebanyakan kelab.
Menurutnya, keutamaan bagi kelab adalah untuk menilai prestasi sebenar pemain, bukan berdasarkan maklumat di atas kertas atau melalui video yang mungkin tidak menggambarkan keadaan semasa pemain tersebut.
"Itu hanyalah satu inisiatif. Dalam bola sepak, sebenarnya profil itu bukan satu perkara yang sangat penting bagi kelab. Kalau kelab nak ambil pemain, mereka tak semestinya tengok pada profil.
"Banyak kali dah berlaku dalam bola sepak kita, ada pasukan ambil pemain berdasarkan profil atau video tapi bila sampai sini rupanya cedera, tak boleh main. Jadi benda itu tidak begitu praktikal," katanya kepada Majoriti.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli.
Namun begitu, beliau tidak menafikan bahawa penyediaan profil pemain masih berguna sebagai bahan sokongan, khususnya untuk media dan peminat yang ingin mengetahui latar belakang dan sejarah kerjaya pemain.
"Dari segi media atau peminat, memang kita alu-alukan pemain buat profil mereka. Bagus juga. Tapi untuk kelab, itu sekadar maklumat tambahan sahaja. Mereka tetap akan pantau prestasi sebenar," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Pekan turut mengingatkan bahawa tindakan menyiarkan resume atau profil untuk menarik perhatian kelab juga boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pemerhati bola sepak.
Beliau bagaimanapun masih menegaskan bahawa budaya sebegitu bukan satu kelaziman dalam Liga Malaysia (Liga M) dan amat jarang sekali dilakukan oleh pemain-pemain tempatan secara terbuka.
Hakim bermain untuk TFC pada musim 2023 hingga 2024/2025. — Facebook/TFC
"Ia mungkin dilihat sebagai usaha terdesak, seolah-olah pemain berkenaan dah tak laku dan terpaksa buat profil untuk tawarkan diri. Itu boleh memberi gambaran negatif juga.
"Mungkin itu suatu inisiatif yang terpaksa dilakukan supaya kadang-kadang orang terlepas pandang ataupun kelab terlepas pandang yang masih ada pemain free dan tidak terikat dengan mana-mana kelab.
"Memang bukan amalan kita buat begitu dalam Liga Malaysia. Jarang-jarang kita lihat pemain buat posting profil untuk tarik perhatian kelab. Itu bukan budaya biasa dalam bola sepak kita," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram