
SAINGAN Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026 kini membuka tirainya dengan menyaksikan 16 pasukan berentap, termasuk penyertaan kelab-kelab ternama seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Selangor FC II serta dua wakil dari utara tanah air, Kedah Darul Aman FC dan Kedah FA.
Kemunculan kelab-kelab popular itu bukan sahaja mempertingkatkan mutu saingan, malah menjadikan Liga A1 sebagai antara pertandingan paling dinanti dalam kalendar bola sepak tanah air.
Bukan hanya dimeriahkan dengan kehadiran kelab-kelab dari saingan Liga Super, beberapa pemain senior juga mewarnai kejohanan itu seperti Norshahrul Idlan Talaha, S. Veenod, Khair Jones dan Nazrin Nawi.
BACA LAGI: Bukan hanya Matyo, ada lagi ikon Liga Super berstatus 'otai' meriahkan Liga A1
BACA LAGI: Liga A1 jadi tempat berkumpul jurulatih gred Liga Super
Kehadiran semakin ramai pemain senior dalam Liga A1 Semi Pro bukan sahaja mencerminkan kemajuan dalam bidang sains sukan, malah turut menimbulkan persoalan mengenai tahap intensiti liga berkenaan.
Pengarah Perubatan dan Kebajikan Pemain Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Dr. Muhammad Hazwan Khair berkata, peningkatan jumlah pemain veteran dalam liga tersebut sebahagiannya menunjukkan tahap kecergasan dan daya tahan pemain masa kini berada pada paras yang membanggakan.
“Dengan kemajuan dalam sains sukan, pemakanan, serta kaedah latihan dan pemulihan, pemain kini mampu mengekalkan prestasi tinggi lebih lama berbanding era sebelum ini,” katanya kepada Majoriti.
Norshahrul atau dikenali sebagai Matyo kembali beraksi bersama Kelantan Red Warriors. — Facebook/KRW
Menurut mantan Ketua Sains Sukan dan Perubatan Selangor FC, pemain yang menjaga kekuatan otot, mobiliti dan proses pemulihan secara berterusan boleh terus beraksi di peringkat kompetitif walaupun selepas umur 35 tahun.
Namun begitu, Dr. Hazwan turut memberi peringatan bahawa kehadiran ramai pemain berusia juga boleh menjadi indikator bahawa tahap intensiti dan tuntutan fizikal dalam Liga A1 mungkin lebih rendah berbanding liga profesional sepenuhnya.
"Secara teori, sekiranya terlalu ramai pemain senior boleh bertahan lama dalam satu liga, ia mungkin memberi petunjuk bahawa intensiti dan tempo permainan tidak setinggi liga profesional sepenuhnya.
"Liga semi pro biasanya mempunyai jadual latihan dan perlawanan yang kurang padat, dengan tahap tuntutan fizikal yang lebih rendah berbanding liga profesional utama," jelasnya.
Dr. Hazwan (kiri) pernah bertugas Ketua Sains Sukan dan Perubatan Selangor FC. — Facebook/SelangorFC
Namun, beliau turut menegaskan bahawa faktor pengalaman dan kecerdikan taktikal pemain senior membolehkan mereka kekal relevan dalam permainan meskipun kemampuan fizikal seperti larian pantas telah menurun.
"Ini bukan semata-mata isu fizikal atau usia, tetapi juga mencerminkan struktur, kualiti dan keseimbangan liga itu sendiri," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram