
BARISAN ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus berdiam diri di sebalik pagar besi apabila enggan memberikan sebarang kenyataan media selepas mesyuarat tergempar yang dipercayai berkaitan isu peletakan jawatan presiden badan induk itu, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.
Lebih menyedihkan, pengamal media yang tiba seawal pukul 10 pagi terpaksa ‘berpayungkan’ sebatang pokok bagi mengelak bahang mentari selepas tidak dibenarkan masuk ke perkarangan bangunan FAM dan hanya mampu menunggu di luar pagar utama.
Selama kira-kira empat jam menanti, tiada seorang pun exco tampil memberi respons atau melayani pertanyaan media, seolah-olah mahu mengelak perhatian terhadap isu yang dianggap berprofil tinggi itu.
BACA LAGI: Setiap musim alami isu sama, apa sebenarnya masalah Penang FC?
Kira-kira pukul 1.30 petang, beberapa kenderaan dilihat keluar dari premis, dipercayai membawa beberapa exco termasuk Datuk Dr. Ps Sugumaran, Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk Suraya Yaacob dan beberapa individu lain.
Turut kelihatan keluar daripada bangunan berkenaan adalah kenderaan yang dipercayai milik Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Namun, tiada satu pun kenderaan berhenti untuk memberi kenyataan mengenai peletakan jawatan Mohd Joehari, malah tingkap kenderaan juga terus tertutup rapat.
Tindakan mengunci mulut itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengamal media yang mempersoalkan keengganan FAM berkomunikasi secara terbuka, lebih-lebih lagi dalam isu sebesar pengunduran presiden badan induk bola sepak negara itu.
Pada Rabu, FAM mengesahkan bahawa Mohd Joehari telah meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan rasmi badan induk bola sepak negara yang menyatakan peletakan jawatan berkenaan diterima dengan rasa berat hati oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM, selepas Mesyuarat Khas Kedua Penggal 2025-2029 yang diadakan pada Rabu di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi itu diadakan khusus bagi membincangkan peletakan jawatan Mohd Joehari, yang telah menyerahkan surat rasmi kepada FAM baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram