
SEBUAH lagi keputusan mengecewakan dialami Penang FC di pentas Liga Super 2025/26 susulan kekalahan dialami di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad lalu.
Ia sekali gus meletakkan skuad Harimau Kumbang di tangga kedua tercorot setelah hanya merekodkan satu mata daripada tiga perlawanan hasil keputusan seri berdepan Melaka FC tempoh hari.
Lebih merisaukan lagi, benteng pertahanan pasukan Utara tanah air itu mencatatkan rekod kedua terburuk ketika ini selepas dibolosi enam kali dengan hanya gawang DPMM FC lebih banyak ditembusi.
BACA LAGI: Promosi 'kaw-kaw', ADUN Penang sepakat bantu Harimau Kumbang
BACA LAGI: Pernah jadi mangsa kad merah silap, kapten negara Afrika disebut rekrut terbaharu Harimau Kumbang
Penang FC berada di kedudukan kedua tercorot selepas tiga perlawanan ditempuhi. — Facebook/MFL
Ini merupakan prestasi cukup merisuakan daripada Penang FC yang sepatutnya berada dalam prestasi lebih baik setelah membuat pelaburan besar-besaran sepanjang jendela perpindahan lalu.
Persembahan mengecewakan yang jauh berbeza dengan kempen lalu turut membuatkan peminat kurang tertarik untuk mengikuti perkembangan skuad bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail itu.
Malah, jika hendak dibandingkan dengan tiga musim lalu, kutipan mata selepas tiga perlawanan ketika ini adalah paling teruk dengan ia tidak mencerminkan cita-cita pasukan.
Situasi dialami kelab itu diburukkan lagi dengan beberapa kisah kurang enak didengari di luar padang seperti masalah import, Limbikai Mzava yang entah hilang ke mana setelah tidak menghadiri sesi latihan.
Penyokong Harimau Kumbang mengharapkan perubahan segera daripada pasukan dalam masa terdekat. — Facebook/Penang FC
Kemelut demi kemelut yang disaksikan itu menimbulkan persoalan, apakah isu sebenar di sebalik skuad Harimau Kumbang yang sepatutnya bersaing selepas pelaburan besar dicurahkan.
Isu utama yang boleh diketengahkan sudah tentu berkenaan mutu pemain dibawa masuk kerana Penang FC terlalu gemar merekrut pemain berusia yang ada daripadanya sudah melepasi zaman permainan terbaik.
Penyerang import, Tchetche Kipre merupakan contoh paling sesuai kerana ketika berdepan KL City FC, bintang Ivory Coast itu gagal membawa sebarang impak terhadap barisan hadapan pasukan.
Selain itu, isu ketara dihadapi skuad Harimau Kumbang adalah berkaitan pemilihan pemain luar negara memandangkan ada daripadanya sukar menyesuaikan diri.
Pengalaman Tchetche Kipre belum cukup untuk menyesuaikannya dalam pasukan. — Facebook/Penang FC
Dari segi pengurusan pula, Penang FC perlu memikirkan cara untuk membuat pelaburan jangka masa panjang dengan memperkenalkan pusat latihan serba lengkap.
Isu kewangan tidak pernah dialami kelab Utara tanah air itu kerana peruntukan kerajaan negeri bijak diuruskan bagi memastikan tiada dana disuntik terus disia-siakan.
Bagaimanapun, peruntukan itu perlu dibahagikan untuk membina pusat latihan yang sekurang-kurangnya dapat menyediakan ruang buat pemain menjalani sesi ditetapkan barisan kejurulatihan.
Pembangunannya dapat memastikan pemain berada dalam keadaan fizikal terbaik kerana mampu menerima sesi latihan mencukupi yang pada akhirnya hanya akan memanfaatkan pasukan.
Pihak pengurusan perlu segera mencari penyelesaian terhadap isu dialami skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Malah, sekiranya terdapat pusat latihan serba lengkap, pihak pengurusan Penang FC dapat mengasah bakat muda dari Pulau Mutiara yang kemudian boleh diserap ke dalam pasukan.
Perkara asas yang dinyatakan boleh dikembangkan dengan masih terdapat pelbagai isu boleh dikupas berhubung masalah Penang FC yang tidak pernah diselesaikan dari tahun ke tahun.
Namun, sekiranya hendak mengetahui secara lebih mendalam, pihak pengurusan perlu mengamalkan sikap telus dalam menjelaskan kepada penyokong berhubung masalah pasukan di dalam dan di luar padang.
Sekiranya kelab tersebut terus berpuas hati dengan prestasi ala kadar Harimau Kumbang, situasi sama akan berulang tidak kira betapa besar rombakan cuba dilakukan setiap jendela perpindahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram