Tonggak TRW kongsi sebab pilih Kelantan, puas hati ikat Sabah di Likas


  • Podium
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Kelantan TRW mengejutkan penyokong bola sepak tempatan apabila berjaya mengikat Sabah FC 0-0 di Stadium Likas. — Facebook/TRW

DARIPADA seorang pemain hoki ais kepada pemain tengah bertahan yang kental, Albert Kang dari Kanada ternyata menjadi ‘rekrut berharga’ buat Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) dalam saingan Liga Super 2025/26.

Pemain berusia 24 tahun itu menjadi watak penting buat Kelantan TRW ketika seri 0-0 menentang Sabah FC di Stadium Likas, Sabah pada Sabtu.

“Ia satu perlawanan yang sukar kerana Sabah pasukan yang kuat, tetapi kami ada banyak momen baik sebagai satu pasukan, walaupun tidak berjaya membawa pulang tiga mata,” katanya.

BACA LAGI: Akan ada masanya kita tak menang apa-apa — TMJ

BACA LAGI: [VIDEO] Hingga diberi gelaran Hadi Messi, striker Armed Forces beri cabaran buat Kedah, Perak di Liga A

Kelantan TRW mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya mengikat Sabah FC 0-0 dalam perlawanan yang sengit. — Facebook/TRW

Dilahirkan dan dibesarkan di Kanada, perjalanan Kang dalam bola sepak bukanlah seperti pemain yang lain.

Dia hanya mula bermain bola pada usia 12 tahun selepas menghabiskan awal usia mudanya di gelanggang ais.

“Sebelum itu saya bermain ais hoki...ia sangat popular di Kanada.

“Kerjaya profesional saya juga bermula agak lewat kerana saya melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat dan bermain dalam NCAA Division I bersama Loyola University Maryland dan Hofstra University.

“Tapi antara detik paling manis adalah ketika menandatangani kontrak profesional pertama dan menjaringkan gol profesional pertama saya," kongsinya.

Albert Kang (tengah) berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh pasukannya dalam mengekang jentera serangan Sabah FC. — Facebook/TRW

Penampilan profesional pertamanya adalah bersama kelab HNK Tomislavgrad di Bosnia musim lalu, yang membuka ruang buatnya merasai suasana bola sepak Eropah.

Namun, apabila peluang untuk menyertai Kelantan tiba, dia tidak teragak-agak untuk menerima tawaran tersebut.

“Sejarah hebat Kelantan dan perancangan untuk membina semula kelab menarik perhatian saya, dan peluang bermain dalam Liga Super memang sangat mengujakan,” katanya.

Kang menambah bahawa dia cepat menyesuaikan diri di Kelantan, hasil bimbingan ketua jurulatih, E. Elavarasan.

“Coach Ela sememangnya jurulatih yang berkualiti tinggi, jadi saya belajar banyak perkara daripadanya dan berusaha sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri dengan sistem permainannya.

“Saya juga sangat menikmati suasana dalam liga ini, ia kompetitif dan penyokong pula mencipta atmosfera yang luar biasa," tambahnya.

Kelantan TRW akan berkunjung ke Utara tanah air bagi menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram