Pernah jadi mangsa kad merah silap, kapten negara Afrika disebut rekrut terbaharu Harimau Kumbang


  • Podium
  • Isnin, 21 Jul 2025

Mzava pernah menjadi mangsa salah identiti pengadil dalam aksi Liga Premier Afrika Selatan bagi musim 2018.

PENANG FC dijangka memperkenalkan seorang lagi pemain import menjelang sepak mula Liga Malaysia musim 2025/2026, dengan pertahanan tengah berpengalaman dari Malawi, Limbikani Mzava disebut-sebut bakal menyertai skuad Harimau Kumbang.

Perkembangan itu dikongsikan pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi menerusi satu hantaran di laman X pada Isnin.

“Difahamkan pemain pertahanan berusia 31 tahun kelahiran Malawi, Limbikani Mzava bakal diperkenalkan sebagai pemain import terbaru Penang FC. Pengumuman rasmi menyusul,” tulisnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Perancangan gugurkan 3 tonggak tampak menjadi buat Nafuzi, tak mustahil diulang berdepan Indonesia

BACA LAGI: Persaingan sengit di Brunei, Syafiq Ahmad berdepan 'ancaman' penyerang muda Indonesia

Mzava yang memiliki ketinggian 1.90 meter, dijangka mengisi kekosongan di posisi bek tengah dalam pasukan kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh benteng pertahanan menjelang musim baharu.

Bekas kapten skuad kebangsaan Malawi itu mempunyai pengalaman luas di pentas bola sepak Afrika, khususnya dalam Liga Premier Afrika Selatan. Antara kelab yang pernah disertainya termasuk Golden Arrows, AmaZulu dan Highlands Park.

Sepanjang karier antarabangsa, Mzava telah mencatatkan 64 penampilan bersama skuad kebangsaan Malawi dan beberapa kali diberikan kepercayaan sebagai kapten pasukan.

Dalam satu insiden menarik sepanjang kariernya, Mzava pernah menjadi mangsa salah identiti pengadil dalam aksi Liga Premier Afrika Selatan bagi musim 2018.

Ketika perlawanan antara Golden Arrows dan Orlando Pirates, beliau dilayangkan kad merah secara tidak adil apabila pengadil Thando Ndzandzeka tersilap mengenal pasti pemain.

Kad sepatutnya diberikan kepada rakan sepasukannya, Mzwandile Buthelezi yang sudah menerima kad kuning terdahulu.

Kesilapan itu kemudiannya diakui pengadil menerusi surat rasmi kepada kelab sekali gus menyelamatkan reputasi Mzava.

Sekiranya pengumuman rasmi dibuat dalam masa terdekat, kehadiran Mzava yang kini berstatus ejen bebas dijangka menjadi suntikan pengalaman dan kekuatan fizikal penting bagi Penang FC menghadapi cabaran Liga Malaysia nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram