
BAHANG Liga Super sudah mula terasa dengan tirai perlawanan akan diangkat ketika Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan Selangor FC dalam aksi Piala Sumbangsih pada Jumaat.
Pada Sabtu dan Ahad, lima perlawanan lagi akan diadakan dengan tumpuan turut terarah kepada Kelantan The Real Warrior serta Kuala Lumpur City FC yang berwajah baharu.
Aksi pada Ahad juga menyaksikan Penang FC akan turun menentang Terengganu FC di Stadium Bandaraya, George Town.
BACA LAGI: Berdepan 5 ujian penting termasuk JDT, Buriram jadi penentu nasib Kino bersama Selangor
BACA LAGI: Silambam-Muay Thai digugurkan SUKMA 2026, KBS pertimbang anjur kejohanan khas
Perlawanan tersebut pastinya menarik perhatian dengan Harimau Kumbang melakukan beberapa pelaburan penting terutamanya di bahagian serangan untuk membaiki skuad sedia ada.
Pemain-pemain berpengalaman seperti Wan Zack Haikal Wan Noor, Tchetche Kipre dan Bruno Suzuki antara nama-nama yang dibawa masuk menguatkan barisan Wan Rohaimi Wan Ismail.
Kehangatan perlawanan tersebut bukan saja dirasai oleh penyokong, malah ahli politik di negeri tersebut tidak mahu terlepas mengikuti kemeriahannya.
Di media sosial misalnya, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen Pulau Pinang tidak kira dari blok kerajaan dan pembangkang bersama-sama mempromosikan aksi Harimau Kumbang berdepan Sang Penyu.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga ADUN Batu Maung antara ahli politik yang mempromosikan perlawanan tersebut dengan mengagihkan tiket percuma kepada pengundi di kawasannya.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid turut mengedarkan 100 keping tiket percuma kepada penyokong.
Ia turut diikuti A. Kumaresan (ADUN Batu Uban), Daniel Gooi (ADUN Padang Lalang) serta Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru).
Malah, para pemimpin dari blok pembangkang turut sepakat mengedarkan tiket percuma untuk memeriahkan aksi Penang pada Ahad.
Mereka termasuklah Fawwaz Mat Jan (Ahli Parlimen Permatang Pauh) serta Abidn Ismail (ADUN Sg Bakap).
Edaran tiket percuma di setiap DUN dan Parlimen di Pulau Pinang sekitar 60 hingga 100 keping tiket pastinya dapat membantu meningkatkan kemeriahan di stadium apabila ia dibanjiri ramai penyokong Harimau Kumbang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram