
SETIAP musim Liga Malaysia sentiasa menghadirkan kisah menarik, sama ada jaringan kilat seawal beberapa saat, kebangkitan luar jangka pasukan kerdil atau detik-detik dramatik yang menggegarkan stadium.
Terbaharu, penyerang import Terengganu FC (TFC), Raianderson Da Costa Morais atau lebih dikenali sebagai Careca, mencipta detik bersejarah apabila meledak jaringan hanya 11 saat selepas wisel pertama ditiup dalam aksi menentang DPMM FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei pada Jumaat lalu.
Aksi itu nyata memeranjatkan penyokong tuan rumah apabila rembatan deras pemain Brazil berusia 29 tahun itu menerjah gawang sebelum lawan sempat menyusun strategi.
BACA LAGI : Sejarah tundukkan 'skuad adik' boleh jadi modal Kuching City kejutkan JDT
BACA LAGI : Bukan mudah serasi DNA Harimau Selatan, bintang Afrika dan Argentina sudah cukup jadi bukti
Careca (tengah) kini semakin menyerlah apabila sudah menjaringkan tiga gol dalam tiga penampilan awal musim ini. — Facebook Terengganu FC
Gol pantas itu turut membuktikan kualiti Careca yang pada awal musim dipersoalkan segelintir penyokong kerana rekodnya bersama kelab terdahulu kurang meyakinkan.
Careca kini semakin menyerlah apabila sudah menjaringkan tiga gol dalam tiga penampilan awal musim ini.
Rekod jaringannya itu sekali gus meletakkan dirinya sebagai senjata utama serangan skuad Penyu yang mahu memberi saingan serius dalam Liga Super kali ini.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada siapa mampu memadam rekod jaringan terpantas Liga Super yang dicatat pertahanan import Penang FC, Rafael Vitor, apabila dia menjaringkan gol seawal sembilan saat ketika aksi menentang Perak FC pada musim 2021.
Vitor masih lagi memegang rekod penjaring terpantas Liga Super ketika ini. — Facebook Penang FC
Vitor, yang mengharungi 119 penampilan serta menyumbang 22 gol sepanjang lima musim bersama Harimau Kumbang, dikenang bukan sahaja kerana gol tersebut, malah kerana keberaniannya mengemudi benteng pertahanan sambil rajin membantu serangan.
Keistimewaan itu menjadikannya antara import paling disegani oleh penyokong Harimau Kumbang.
Namun, perjalanan Vitor di Liga Malaysia berakhir apabila dia disahkan meninggalkan Penang FC menjelang musim 2025/2026 untuk kembali beraksi di tanah kelahirannya bersama Amazonas FC.
Selain Vitor dan Careca, sejarah Liga Super turut merekodkan nama Ahmad Fakri Saarani yang pernah meledak jaringan pantas pada saat ke-12 ketika membantu Kelantan FC menewaskan Terengganu FC dalam saingan 2015.
Fakri Saarani yang pernah meledak jaringan pantas pada saat ke-12 ketika membantu Kelantan FC menewaskan Terengganu FC dalam saingan 2015.
Gol Fakri Saarani ketika itu sekali gus menjadi rekod terpantas dalam liga tempatan sebelum Victor memecahkan rekod tersebut.
Bekas tonggak kebangsaan dan anggota skuad emas Sukan SEA 2009 dan 2011 itu pernah menjadi antara ikon The Red Warriors (TRW), malah berjaya menjulang Piala FA 2013 bersama Kelantan.
Namun, prestasinya merosot dan kali terakhir penyerang kelahiran Pengkalan Chepa itu dilihat beraksi ialah bersama Budak Rumah Murah FC (BRM FC) dalam saingan Liga M3 pada 2023.
Hakikatnya, drama wisel pertama sentiasa memberi warna dalam saingan bola sepak Malaysia.
Dari generasi Ahmad Fakri hingga Rafael Vitor, kini muncul Careca sebagai watak baharu yang bakal terus dikenang jika mampu mengekalkan rentak jaringan luar biasa itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram