
KEPUTUSAN beberapa kelab, termasuk Sri Pahang FC untuk tidak menyertai saingan Liga Super 2025/26 menyaksikan lambakan bintang tempatan berstatus ejen bebas.
Meskipun sesetengah daripada mereka sudah berada dalam pasukan baharu, ada yang mengalami nasib sebaliknya apabila tidak dapat mencari destinasi sesuai.
Ini termasuk bekas bek tengah negara, Fadhli Shas yang menjadi tonggak skuad Tok Gajah musim lalu dengan peranan kapten dipikulnya membantu pasukan tersebut layak ke pentas akhir Piala Malaysia.
BACA LAGI: [VIDEO] Fadhli Shas sambut hari jadi anak, tapi pemain misteri no.40 lebih curi tumpuan ramai
BACA LAGI: Konsisten atas padang tapi sayangnya Afro, Fadhli Shas dan Nijey jarang jadi pilihan Pan-gon
Fadhli yang cukup berpengalaman tidak dapat menarik perhatian mana-mana kelab tempatan.
Bagaimanapun, dengan usianya sudah mencecah 34 tahun, sukar baginya mencari kelab baharu kerana masing-masing lebih tertarik akan pemain lebih muda bagi perancangan jangka masa panjang.
Dia sebelum ini dikatakan bakal menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC bersama rakan-rakan sepasukan dari Sri Pahang FC seperti Adam Nor Azlin, Azrif Nasrulhaq serta Syazwan Andik.
Malah, Fadhli Shas juga diberi peluang membuktikan diri selepas terlibat dalam aksi persahabatan skuad Warga Kota dengan kehadirannya menimbulkan 1,001 spekulasi.
Namun, dalam perkembangan terbaru, pemain kelahiran Lumut, Perak itu memilih untuk mengumumkan persaraan seperti mana diumumkan ketua jurulatih KL City FC, Risto Vidakovic.
"Dia memilih untuk bersara. Dia mahu meluangkan masa bersama keluarganya dan itu bukan isu untuk kami. Itu keputusan dia dan saya menghormatinya," katanya seperti mana dilaporkan Stadium Astro.
Risto menjelaskan keputusan diambil Fadhli Shas adalah dibuat atas dasar keluarga. — Facebook/KL City FC
Skuad Warga Kota membawa masuk lambakan pemain dalam usaha memperbaiki kedudukan berbanding musim lalu, termasuk di posisi bek tengah dengan nama-nama seperti Adam dan Dmytro Lytvyn diperkenalkan.
Kehadiran Fadhli Shas akan menyebabkan persaingan cukup hebat di posisi itu memandangkan Giancarlo Gallifuoco turut dikekalkan dengan dia terus berada dalam kesebelasan utama
Menyedari situasi itu, bekas bek Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan memilih untuk menggantung but selepas bertahun-tahun mewarnai arena bola sepak tanah air.
Selain beraksi buat skuad Harimau Selatan dan Tok Gajah, Fadhli Shas juga pernah bersama Melaka United, Harimau Muda A selain pernah dipinjamkan ke kelab Slovakia, Zlate Moravce.
Di pentas antarabangsa pula, dia mencatatkan 55 penampilan buat skuad kebangsaan dengan berjaya membantu negara menjulang Piala AFF 2010. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram