Konsisten atas padang tapi sayangnya Afro, Fadhli Shas dan Nijey jarang jadi pilihan Pan-gon


  • Podium
  • Rabu, 29 Mei 2024

Aksi paling diingati Fadhli ketika membantu skuad kebangsaan menjulang Piala AFF pada 2010. — Facebook/SriPahangFC

PANGGILAN untuk mewakili Harimau Malaya bagi tugasan negara antara pencapaian yang dibanggakan oleh pemain tempatan kerana ia membuktikan nilai mereka disedari untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Jika melihat penilaian Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sejak mengepalai skuad kebangsaan pada 2022, pengendali Korea Selatan itu dilihat sering mengekalkan majoriti pemain terasnya.

Antara yang sudah sinonim dengan panggilan Pan-gon sejak 2022 ialah Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Darren Lok, Stuart Wilkin, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Brendan Gan, Matthew Davies, Shahrul Saad dan Corbin Ong.

BACA LAGI: JDT, Terengganu dipetik jadi lawan sparring Harimau Malaya sebelum aksi kelayakan

BACA LAGI: Zhafri Yahya ganti Syafiq Ahmad tercedera, ramai sangka sepatutnya Sumareh, Aguero atau Wan Zack

Penggunaan tonggak sama itu tidaklah terlalu mendapat rungutan namun masih ada beberapa pemain dianggap perlu mendapat perhatian Pan-gon lagi-lagi jika melihat aksi konsisten mereka di saingan liga domestik.

Menjelang dua perlawanan Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jun ini, Pan-gon mengekalkan sebanyak 16 daripada 24 pemain daripada skuad sebelum ini yang beraksi menentang Oman pada 21 dan 26 Mac lalu.

Namun, masih ada pemain wajar mendapat peluang ke skuad Pan-gon khususnya jika melihat barisan pertahanan yang masih menggunakan khidmat sama sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain pertahanan tempatan terbaik Liga M dan konsisten namun jarang mendapat panggilan Harimau Malaya;

1) Shahrul Nazeem

WhatsApp Image 2024-05-28 at 20.12.36 (1)

Shahrul (kiri) ketika aksi menentang Negeri Sembilan baru-baru ini. — Facebook/SelangorFC

Shahrul Nazeem atau lebih dikenali dengan sapaan Afro boleh dilabel sebagai salah seorang pertahanan paling konsisten Selangor FC sejak dia dinaikkan pangkat ke skuad utama pada musim 2021.

Bek tengah berusia 24 tahun ini mempunyai teknik pertahanan yang sangat baik dan bijak membaca gerakan pihak lawan sehingga sukar untuk mereka menembusinya jika Shahrul diturunkan sebagai pertahanan.

Musim ini, Shahrul diberikan cabaran oleh pengendali, Nidzam Jamil untuk beraksi sebagai bek kanan dan anak jati Gombak, Selangor itu bermain dengan sangat baik ketika aksi menentang Kedah Darul Aman FC dan Negeri Sembilan FC.

Dari segi tugasan bersama Harimau Malaya pula, kali terakhir Shahrul mendapat tempat di skuad Pan-gon adalah ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac lalu.

Namun, khidmatnya tidak digunakan dan sekadar memanaskan bangku simpanan dalam aksi Malaysia menentang Oman yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 2-0 dan 0-2 di Bukit Jalil.

2) Shahrul Nizam

WhatsApp Image 2024-05-28 at 20.12.36

Shahrul Nizam (berjersi nombor lima) antara bek tengah utama Terengganu.— Facebook/TFC

Pertahanan tengah Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni merupakan seorang yang sesuai untuk diletakkan dalam kategori jarang mendapat panggilan apabila dia sering berada dalam prestasi terbaik di peringkat kelab.

Meskipun hadir dengan reputasi sebagai seorang yang cukup konsisten, pemain yang dikenali sebagai 'Nijey' itu jarang diberikan minit permainan bersama skuad kebangsaan.

Kali terakhir pemain berusia 26 itu mendapat panggilan ke kem latihan pusat pada perlawanan persahabatan di Jordan pada 2021 namun Shahrul Nizam gagal melapor diri kerana dia turun ke laut bagi melakukan aktiviti mencandat sotong.

Selepas insiden berkenaan, bek tengah berketinggian 1.75 meter itu masih belum sebarang panggilan daripada rejim Pan-gon dan namanya sekadar menghiasi Senarai Bersedia Harimau Malaya.

3) Fadhli Shas

WhatsApp Image 2024-05-28 at 20.12.35

Karier Fadhli (kiri) melonjak semula bersama Pahang. — Facebook/SriPahangFC

Selepas bermusim-musim berkhidmat bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), pertahanan veteran, Fadhli Shas memilih untuk meninggalkan kelab Selatan tanah air itu pada jendela perpindahan 2022.

Pertahanan berusia 33 tahun yang pada musim sebelumnya menyertai Melaka United FC secara pinjaman kemudian diumumkan bakal menyarung jersi Sri Pahang FC bagi menghidupkan semula kariernya.

Walaupun sudah agak berusia namun bek tengah itu masih boleh mengekalkan tahap kecergasannya dalam setiap perlawanan dan membantu Tok Gajah menghuni kedudukan tangga ketujuh dalam carta liga dengan 28 mata berjaya dikumpul sepanjang musim.

Dari segi rekod bersama Harimau Malaya, kali terakhir Fadhli menyarung jersi kebangsaan ketika perlawanan persahabatan menentang Mongolia yang menyaksikan Malaysia mengikat seri 2-2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram