[VIDEO] Fadhli Shas sambut hari jadi anak, tapi pemain misteri no.40 lebih curi tumpuan ramai


  • Podium
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Kehadiran pemain misteri itu terus menimbulkan spekulasi dalam kalangan penyokong skuad Tok Gajah.

JUMAAT lalu, bek tengah Sri Pahang FC, Fadhli Shas serta keluarganya sempat meraikan ulang tahun kelahiran anak sulungnya, Fattah Eiman Fadhli yang ketujuh.

Sambutan itu dibuat di pusat latihan skuad Tok Gajah dengan pemain serta staf kejurulatihan sempat meluangkan masa demi meraikan hari istimewa tersebut.

Antara yang kelihatan ketika sambutan tersebut ialah kapten pasukan, Sergio Aguero, pengendali skuad, Fandi Ahmad serta ahli keluarga Fadhli Shas.

Ia jelas menunjukkan keakraban antara satu sama lain dengan senyuman terukir di wajah masing-masing seperti mana dapat disaksikan dalam klip yang dikongsikan bekas tonggak Johor Darul Takzim (JDT) itu.

Namun, di sebalik kemeriahan tersebut, penyokong Sri Pahang FC mendapati terdapat seorang pemain yang tidak pernah muncul di padang latihan sebelum ini.

Individu tersebut dilihat mengenakan kit latihan bernombor 40 dengan kehadirannya seolah-olah sudah disenangi skuad utama Tok Gajah.

Meninjau ke ruangan media sosial, seorang penyokong menerusi akaun Facebook Hogoh Pahang Hogoh, pemain misteri itu ialah rekrut baharu pasukan yang masih belum dirasmikan.

"No.40 dah sampai ya, memandangkan keluarganya sudah lama menetap di Malaysia, harap-harap dia merupakan rekrut terbaru Sri Pahang yang diikat dengan betul.

"Belajarlah daripada pengalaman lepas. Maka, lengkaplah khabar angin yang saya kongsikan dahulu," tulisnya tidak lama selepas video sambutan itu dimuat naik Fadhli Shas.

Menurut perkongsian orang ramai, terdapat kemungkinan bahawa individu tersebut merupakan anak kepada bekas penyerang Perak FA dan ATM FA, Abdulafees Abdulsalam.

Bagaimanapun, dengan tiada penjelasan lanjut, ia hanya berstatus khabar angin dengan penyokong Sri Pahang FC terus bekerja keras untuk mengetahui identitinya.

Setakat ini, skuad Tok Gajah hanya membawa masuk dua pemain baharu, iaitu Kuvondik Ruziev dan Rafael Silva yang masing-masing sedang dalam proses menyesuaikan diri dengan Liga Super.

Tetapi, mereka masih berpeluang membawa masuk lagi seorang import baharu memandangkan pasukan Pantai Timur tersebut hanya memiliki lapan pemain luar negara setakat ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram