[VIDEO] Imam masjid ditikam penagih dadah ketika solat Subuh, asyik tukar pengakuan ketika disoal siasat polis


  • Benua
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Rakaman CCTV menunjukkan detik seorang lelaki yang berpura-pura menjadi jemaah mengancam imam masjid dengan senjata tajam sebelum menikam mangsa hingga cedera parah.

SEORANG imam masjid cedera parah selepas ditikam oleh seorang lelaki ketika memimpin solat Subuh berjemaah di Masjid Baiturrahman, Desa Tompira, Kecamatan Petasia Timur, Indonesia pada Isnin.

Ketua Bahagian Operasi Reskrim Polres Morowali Utara, Iptu Theodorus Resupal berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Jumali, 27, ditikam di bahagian perut oleh suspek berusia 23 tahun yang dikenali sebagai AL.

Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa yang mengenakan jubah putih dan berkopiah sedang mengimamkan solat bersama beberapa jemaah lain sebelum suspek tiba-tiba muncul dari arah depan mimbar lalu menikamnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Aksi berani pekerja tarik tali tunda elak pesawat pejuang MiG-29A rosak teruk

BACA LAGI: Suami isteri kena racun dukun palsu, 11 mangsa terkorban ditipu wang ‘beranak

"Suspek berpura-pura menyertai saf jemaah sebelum keluar dari barisan dan menyerang mangsa ketika dia sedang rukuk.

"Mangsa ditikam di bahagian perut ketika mengimamkan solat Subuh berjemaah. Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap jemaah sebelum polis tiba," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Theodorus berkata, suspek turut menjadi sasaran kemarahan orang ramai dan dipukul sehingga cedera sebelum ditahan polis bersama barang bukti termasuk sebilah pisau dan telefon bimbit.

Menurut Theodorus, hasil ujian awal mendapati suspek positif dadah dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

"Mangsa yang mengalami kecederaan akibat tikaman telah dibawa ke Klinik Krisna sebelum dirujuk ke Hospital Besar Wilayah Kolonodale (RSUD). Maklumat terkini yang diterima, mangsa masih dirawat selepas dipindahkan dari Klinik Krisna, Kampung Bunta," tambah Theodorus.

Menurut beliau, pihak polis masih menyiasat motif kejadian memandangkan keterangan suspek sering berubah-ubah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram