
SELANGOR FC secara rasmi mengumumkan penyerang Brazil, Willian Lira sebagai pemain import baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26, serta kejohanan antarabangsa Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab ASEAN.
Pemain kelahiran Fortaleza, Brazil dan memulakan kerjayanya dengan mewakili beberapa kelab dalam saingan Campeonato Brasileiro Serie B dan C termasuk Icasa, Ferroviario, Portuguesa, dan Sao Bernardo FC.
Prestasi konsisten Lira dalam liga domestik Brazil membuka peluang untuk pemain berusia 31 tahun itu umengembangkan karier di peringkat antarabangsa, bermula di Jepun bersama Ventforet Kofu.
BACA LAGI: 'Willian Lira lebih bagus berbanding Ronnie Fernandez, cuma dia masih import biasa-biasa'
BACA LAGI: Alang-alang sambar Willian Lira, Selangor boleh 'done deal' 3 lagi ex import Kedah
Sepanjang dua musim (2021–2022) dalam saingan Liga J2, Lira menjaringkan 18 gol dalam 70 penampilan dan memainkan peranan utama dalam kejayaan kelab itu menjuarai Emperor’s Cup 2022, kejuaraan utama pertama dalam sejarah mereka.
Pada awal 2023, Lira menyertai Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super dengan dia menjaringkan lapan gol dalam 14 perlawanan, sebelum berpindah ke Thailand untuk menyertai Chonburi FC bagi musim 2023/24.
Perpindahannya ke Thailand memberi pulangan berbaloi apabila penyerang tinggi lampai berkenaan terus menunjukkan ketajaman di hadapan gol dengan 15 jaringan dalam 30 aksi Liga 1 Thai.
Musim 2024/25 pula menyaksikan Lira berkelana ke Emiriah Arab Bersatu bersama Hatta Club dan dia sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila menyumbang 13 gol dan lima bantuan jaringan dalam 23 penampilan.
Dengan rekod positif itu, ketibaan Lira dijangka memberikan nafas baharu kepada jentera serangan Selangor FC yang bersedia mengharungi musim kompetitif, baik di pentas domestik mahupun serantau.
Memetik laman rasmi Selangor FC, Lira meluahkan keterujaannya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah dengan pemain berkenaan berkongsi faktor menyarung jersi Selangor.
“Saya memilih Selangor FC kerana ini sebuah kelab yang kuat dan antara yang dihormati ramai. Selain itu, saya merasakan tiada masalah untuk saya menyesuaikan diri dengan cepat kerana saya pernah bermain dalam Liga Malaysia sebelum ini.
"Saya sudah biasa dengan gaya permainan liga, peraturan, dan saya juga mengenali beberapa pemain di sini, akan membantu proses untuk saya menyesuaikan diri dengan cepat," katanya.
Lira meninggalkan Kedah dengan menjaringkan lapan gol dalam 14 perlawanan. — Facebook/KDAFC
Bukan itu sahaja, Lira turut berkongsi sasaran peribadi untuk musim pertamanya bersama kelab. Pemain itu berharap akan membantu Gergasi Merah mendapatkan trofi bagi kempen Liga M kali ini.
"Matlamat saya adalah untuk membantu pasukan bersaing merebut kejuaraan dan, sudah tentu, untuk menjaringkan gol sebanyak yang mungkin. Saya pernah melakukannya bersama kelab lain sebelum ini, tetapi kali ini saya mahu melakukannya untuk Selangor.
"Setiap hari saya akan memberikan yang terbaik untuk menyumbang kepada pasukan, sama ada di dalam atau di luar padang," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram