Pesta curi kabel di Pagoh, polis cekup 2 suspek, seorang lagi sudah dikenal pasti


  • Kes
  • Ahad, 24 Ogos 2025

Kejadian curi kabel di Pagoh yang tular di media sosial.

TULAR sebuah kejadian di Pagoh, Johor pada Sabtu apabila terdapat tiga individu dikesan cuba mencuri kabel Telekom Malaysia di belakang sebuah asrama.

Dalam rakaman yang tular di media sosial, tiga suspek itu melakukan kegiatan tersebut di belakang asrama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dikejar oleh polis yang sedang melakukan rondaan dekat kawasan tersebut.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya berjaya menahan dua lelaki warga tempatan yang berusia 24 dan 25 tahun.

BACA LAGI: Gempa bumi landa Segamat di awal pagi, penduduk dinasihat jauhi struktur tak kukuh

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya bukan suka-suka datang', Exco Johor arah pembangunan pusat data henti kerja langgar syarat

Bagaimana pun, seorang lagi suspek sempat melarikan diri dan masih lagi dalam buruan pihak berkuasa.

"Ketika ditahan, tiga lelaki yang berada dalam kenderaan berkenaan bertindak melarikan diri dan kejadian berkenaan turut tular di media sosial.

"Bagaimanapun, hasil tindakan pantas polis, dua daripada mereka berjaya diberkas sementara seorang lagi suspek telah dikenal pasti dan sedang dikesan oleh pihak polis.

"Polis akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah curi kabel yang boleh menjejaskan perkhidmatan awam serta mengancam keselamatan masyarakat," ujar Raiz Mukhliz.

Hasil siasatan, kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dengan mereka turut positif dadah.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Polis turut menyiasat kes ini mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat terhadap perkhidmatan awam dengan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah dengan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram