Zii Jia akhirnya jelaskan misteri hantaran penuh tanda tanya disebabkan kemurungan


  • Podium
  • Ahad, 24 Ogos 2025

Zii Jia akhirnya menerangkan mengapa dia pernah memuat naik gambar lukisan yang aneh dan menimbulkan misteri.

PEMAIN badminton profesional negara, Lee Zii Jia akhirnya membuka mulut kenapa dia pernah menyiarkan hantaran-hantaran misteri di media sosialnya.

Dia mendedahkan yang gambar berunsur misteri itu memberikan isyarat yang Zii Jia sedang berdepan isu kemurungan akibat kecederaan yang dialaminya sebelum ini.

Zii Jia mengalami kecederaan semasa Jelajah Dunia Akhir pada Disember 2024 yang memaksanya terlepas kesemua pertandingan Jelajah Dunia BWF musim ini.

BACA LAGI: Hantaran ‘misteri’ Zii Jia cetus tanda tanya, ada kaitan tanda-tanda kemurungan

BACA LAGI: Zii Jia hanya minat seni, bukan isyarat lain — Ketua Pengarah MSN

Zii Jia menjauhkan diri daripada media sosial semasa berdepan kemurungan.

"Semasa lima bulan tersebut, saya bukan saja berdepan dengan kecederaan, saya turut berdepan dengan stres, dan semestinya saya ada sedikit kemurungan," ujarnya. 

"Saya berada dalam situasi di mana saya mahu berhenti bermain. Saya ada naik turunnya tapi ketika itu, ia adalah kali pertama saya berdepan dengan kecederaan besar.

"Saya agak terkejut dan tak tahu nak buat apa. Saya tak tahu macam mana nak hadapi masalah ini," jelasnya.

Dalam masa yang sama, Zii Jia menjelaskan yang dia meluahkan apa yang terbuku di dalam hati menerusi seni.

Baginya, luahan tersebut tidak semestinya berkisar mengenai perkara yang positif semata-mata.

"Ia adalah sesuatu yang kita boleh gunakan untuk luahkan perasaan, bukan sekadar perasaan positif tapi perasaan negatif juga. Sebab itu saya kongsikan imej tersebut.

"Saya cuma fokus kepada isu sendiri seperti menjalani rehabilitasi dan keadaan mental. Saya rasa, saya belajar banyak semasa proses tersebut dan meraih pengalaman baharu.

"Sekarang, saya cuma mahu menikmati permainan saja di gelanggang dan bebas dari kecederaan," ujarnya.

Zii Jia kembali semula ke gelanggang dengan menyertai Kejohanan Dunia yang diadakan bermula 25 hingga 31 Ogos.

Dia akan menentang pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin pada pusingan pertama. — The Star/R. KIRUBASHINI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram