Bukan hanya sukses atas padang, Kuching City berjaya hidupkan karier 3 bintang


  • Podium
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Skuad Harimau Selatan berjaya membawa pulang tiga mata penuh ke Johor selepas berdepan cabaran sengit dari The Cats. — Facebook/JST

SKUAD Kuching City FC mempamerkan prestasi luar biasa dalam saingan Liga Super musim 2025/26, membuktikan kualiti tinggi barisan pemain The Cats.

Kehebatan mereka terserlah apabila hanya membenarkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) menjaringkan satu gol sahaja dalaam saingan Liga Super di Stadium Negeri Sarawak pada Ahad.

Dalam perlawanan yang sengit itu, anak-anak buah Aidil Sharin Sahak berjaya mengekang serangan JDT yang biasanya gemar mencatat tiga gol atau lebih setiap perlawanan.

BACA LAGI: Tonggak TRW kongsi sebab pilih Kelantan, puas hati ikat Sabah di Likas

BACA LAGI: Akan ada masanya kita tak menang apa-apa — TMJ

Gol tunggal JDT tersebut dijaringkan oleh import berbisa Harimau Selatan, Jairo da Silva menerusi tandukan hasil hantaran Joao Figueiredo.

Walaupun tidak meraih kemenangan, pencapaian menahan juara bertahan daripada meledak gol banyak adalah bukti ketahanan dan kualiti barisan pemain Kuching City yang semakin mantap.

Menariknya, ada beberapa pemain The Cats yang sebelum ini tidak menunjukkan prestasi terbaik sebelum menyertai Kuching City, namun di bawah bimbingan Aidil Sharin mereka kini mencuri tumpuan peminat.

Oleh itu, Majoriti ingin menyenaraikan tiga pemain utama The Cats yang kini menjadi tumpuan penyokong tanah air.

1. Ramadhan Saifullah

Pada musim 2024/25, Ramadhan Saifullah dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Kuching City dan beraksi sebagai pemain sayap.

Kepantasan, kawalan bola yang kemas serta ketajaman di hadapan gol menjadikannya antara tonggak penting pasukan dengan rekod lima gol daripada 19 penampilan.

Salah satu momen paling berkesan adalah ketika dia membantu Kuching City menewaskan Selangor FC 2-1, kemenangan yang melonjakkan pasukan ke tangga ketiga liga musim lalu.

Musim 2025/26 pula menyaksikan Ramadhan diserap secara kekal ke dalam pasukan yang berpangkalan di Borneo itu.

Ramadhan Saifullah kini menunjukkan taring sebenar di bawah bimbingan Aidil Sharin. Facebook/Kuchingcityfc

Penyerang berketinggian 1.79 meter itu terus menjadi sandaran utama di bahagian serangan dengan harapan untuk mengekalkan prestasi cemerlang.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Ramadhan kini menjadi antara nadi penting skuad The Cats.

Sebelum ini, Ramadhan lebih kerap beraksi untuk JDT II berbanding skuad senior, dengan hanya satu penampilan bersama JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 menentang Ulsan HD.

2. Haziq Nadzli

Musim lalu, Haziq Nadzli menyarung jersi Perak FC dan tampil cemerlang dengan 19 penampilan.

Konsistensinya di bawah palang menjadikan dia antara calon penjaga gol terbaik musim 2024/25.

Walaupun mempamerkan prestasi cemerlang, Haziq turut menghadapi cabaran apabila bolos sebanyak 26 gol musim lalu.

Kini, Haziq menyertai Kuching City secara rasmi selepas Perak tidak lagi bersaing dalam Liga Super.

Prestasi Haziq kini mendapat pujian selepas menampilkan aksi cemerlang bersama The Cats. Facebook/Kuchingcityfc

Perpindahan itu dilihat tepat bagi meneruskan momentumnya dan memperkukuh benteng pertahanan pasukan.

Setakat ini, Haziq sudah menunjukkan prestasi membanggakan dengan hanya dibolosi empat kali dalam tiga perlawanan dan manisnya mampu menyekat jentera serangan JDT baru-baru ini. 

Kehebatannya menjaga pintu gol menjadikan dia antara aset utama The Cats musim ini dan tidak mustahil khidmatnya akan terus ditagih oleh Aidil Sharin sepanjang musim liga. 

3. Danial Asri

Bekas pemain Selangor FC, Danial Asri mungkin tidak banyak mencuri perhatian musim lalu apabila hanya membuat tujuh penampilan dan lebih banyak menghangatkan bangku simpanan. 

Namun, musim 2025/26 membuka lembaran baharu buat Danial selepas menyertai Kuching City.

Dalam aksi sulung menentang JDT, Danial tampil dengan penuh keyakinan dan persembahan bertenaga yang berjaya memikat peminat.

Danial Asri (depan) turut menampilkan prestasi cemerlang bersama The Cats. Facebook/Kuchingcityfc

Walaupun baru satu perlawanan, Danial dilihat tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan oleh Aidil Sharin.

Pemain kelahiran Rawang itu kini dalam landasan tepat untuk mengembangkan lagi prestasinya dan dijangka menjadi antara pemain penting yang mampu menyumbang gol serta bantuan jaringan kepada pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram