Jika Azeem Fahmi 'skip' Sukan SEA, pelari Kedah sedia ke Thailand


  • Podium
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Aiman Ikhwan kini merupakan pelari ketiga terpantas Malaysia tahun ini.

JUARA pecut 100 meter (m) Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Aiman Ikhwan Yahya muncul sebagai calon pengganti sekiranya bintang negara, Mohd Azeem Fahmi tidak menyertai Sukan SEA Thailand pada hujung tahun ini.

Pelajar berusia 18 tahun dari SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR), Jitra, Kedah itu mencatat rekod kejohanan 10.40s, masa yang lebih pantas berbanding catatan pingat gangsa di Sukan SEA Kemboja 2023, apabila Khairul Hafiz Jantan merekodkan 10.45 saat (s).

Aiman Ikhwan kini merupakan pelari ketiga terpantas Malaysia tahun ini, hanya berada di belakang Azeem Fahmi (10.20s) dan Danish Iftikhar Mohd Roslee (10.32s).

BACA LAGI: [VIDEO] Anak jati Kedah raja trek, lebur rekod 100 meter di MSSM Perlis

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya dibezakan 0.13s, Azeem Fahmi terlepas podium 100m WUG 2025

Jurulatih pecut kebangsaan, Mohd Poad Kassim mengesahkan Aiman Ikhwan sudah termasuk dalam perancangannya untuk Sukan SEA Thailand, namun penyertaannya bergantung pada prestasi di Terbuka Malaysia di Kangar, Perlis, hujung bulan ini.

"Aiman kini berada di ranking ketiga Malaysia dan sekiranya Azeem memutuskan untuk tidak bertanding di Thailand, peluang terbuka untuk dia beraksi di Sukan SEA.

"Tetapi semuanya bergantung kepada keputusan Terbuka Malaysia. Aiman tidak akan beraksi, jadi terpulang kepada pelari lain untuk mencatat masa lebih baik daripadanya.

"Jika ada yang berjaya mengatasi catatannya, Aiman mungkin dipertimbangkan untuk acara 4x100m berganti-ganti," kata Poad.

Terdahulu, Azeem Fahmi memberi bayangan bahawa beliau mungkin tidak menyertai Sukan SEA di Thailand pada Disember ini.

Atlet berusia 21 tahun itu mahu memberi tumpuan menamatkan tahun akhir pengajian di Universiti Auburn sambil memenuhi komitmennya dalam litar tertutup Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA).

Bagaimanapun, keputusan muktamad masih belum dibuat kerana Azeem Fahmi dijadualkan mengadakan perbincangan dengan jurulatihnya, Ken Harnden serta Kesatuan Olahraga Malaysia sebelum sebarang ketetapan diputuskan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram