Zamir Azman 'tinggalkan' kembar, perbaharui rekod 100m raih pingat emas Sukan SEA Pekak 2025


  • Podium
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Zamir kelihatan puas selepas menamatkan larian 100m dalam saingan Sukan SEA Pekak pada Jumaat. — Facebook/Faizal Basari

PELARI pecut 100 meter (m) pekak kebangsaan, Zamir Azman secara rasmi diangkat sebagai Raja Pecut Pekak Asia Tenggara selepas menjuarai acara tersebut dalam Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia.

Dalam perlumbaan yang berlangsung pada Jumaat, atlet berusia 20 tahun itu hanya memerlukan 11.06 saat (s) untuk menamatkan larian, sekali gus memadam rekod milik Nur Shahdan (11.12s) yang dicatatkan pada 2022.

Catatan tersebut menyaksikan Zamir meraih pingat emas sementara perak milik Hazrul Shah Hamri (11.09s) sementara kembar kepada Zamir, Zumar Azman membawa pulang gangsa.

BACA LAGI: Tak mustahil ada negara tarik diri sertai Sukan SEA jika konflik Thailand-Kemboja berterusan

BACA LAGI: [VIDEO] Anak jati Kedah raja trek, lebur rekod 100 meter di MSSM Perlis

Zamir Azman menamatkan larian menerusi catatan masa 11.07s untuk meraih pingat emas Sukan SEA Pekak 2025.

Ini merupakan satu kejayaan cukup membanggakan buat kem pelari pekak Malaysia kerana ketiga-tiga atlet yang berada di kedudukan podium adalah wakil negara, sekali gus menjadikan pencapaian itu cukup bermakna menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Pencapaian membanggakan ketiga-tiga pelari tersebut, terutamanya daripada Zamir menerima pujian menggunung daripada peminat sukan olahraga serta orang ramai yang berbangga akan kejayaan terbabit.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut sempat menzahirkan ucapan penghargaan buat pelari tersebut yang membantu membina masa depan negara yang lebih cerah.

"Tahniah Zamir Azman! Kejayaan menjuarai acara 100m Sukan SEA Pekak 2025 dan memecah rekod temasya dengan catatan 11.07 saat adalah satu pencapaian yang membanggakan negara.

"Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada semua, demi membina masa depan sukan negara yang lebih inklusif, progresif dan gemilang," tulis beliau di media sosial.

Sementara itu, dalam acara 100m wanita, Nur Andrina Zainuddin memastikan Malaysia megah apabila turut meraih pingat emas menerusi catatan masa 13.06s dalam perlumbaan akhir.

Pelari itu jauh meninggalkan rakan senegara, Steffy Stacy Lakim yang berada di kedudukan kedua selepas memerlukan 13.63s untuk menamatkan perlumbaan manakalah atlet tuan rumah, Selly Dwi Juniarti melengkapkan podium. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram