
PEMBUBARAN kelab-kelab gergasi Liga Super seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC menyaksikan lambakan pemain mengambil keputusan menyertai pasukan dalam divisyen bawahan.
Destinasi utama sudah tentu pasukan yang bersaing dalam saingan Liga A1 Semi Pro kerana pertandingan tersebut sekurang-kurangnya dapat memberi saingan berintensiti tinggi.
Meskipun tahapnya jauh jika dibandingkan dengan Liga Super, ia masih memberikan peluang buat mereka membuktikan diri sambil mengharapkan bakat masing-masing kembali disedari ramai.
BACA LAGI: Debaran memuncak, Liga A1 dilimpahi 3 coach otai Liga Super termasuk Victor Andrag
Bagaimanapun, ada juga yang mengambil keputusan untuk tidak beraksi dalam pertandingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) itu dengan menyertai mana-mana pasukan di peringkat lebih rendah iaitu liga negeri.
Keputusan sedemikian sudah tentu merencatkan perkembangan di atas padang, lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih berada dalam kategori pemain muda dan mempunyai masa depan cerah.
Tetapi, langkah itu masih perlu diambil demi mencari sesuap nasi buat keluarga selain memastikan kecergasan terus terjaga supaya dapat mencuri perhatian pengurusan kelab Liga Super.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga pemain yang kini mempamerkan sentuhan masing-masing dalam liga negeri selepas sebelum ini pernah membuktikan diri dalam diviyen teratas negara.
1. Saiful Jamaludin
Meskipun memperolehi lesen kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia, Sri Pahang FC mengambil keputusan untuk tidak menyertai divisyen teratas negara bagi saingan musim depan.
Ketiadaan skuad Tok Gajah menyaksikan rata-rata pemain bagi kempen lalu mula mencari destinasi baharu bagi saingan akan datang dengan rata-rata daripada mereka dilaporkan akan terus beraksi dalam Liga Super.
Saiful (atas, kanan) beraksi buat Pulau Tawar FC dalam saingan liga Pahang. — Facebook/Myligapahang
Bagaimanapun, bagi pemain tengah, Saiful Jamaludin, pilihan utamanya adalah untuk terus kekal di bumi Darul Makmur apabila menyertai Pulau Tawar FC yang beraksi dalam Liga Pahang.
Selain dapat terus menabur bakti di liga negeri, pemain berkenaan memilih menyertai kelab tersebut kerana dia berpeluang beraksi di samping bekas pemain Tok Gajah, seperti Azamuddin Akil dan Hafiz Kamal.
Namun, langkah diambil itu dikhuatiri hanya akan merencatkan perkembangan Saiful yang pernah diangkat sebagai prospek hangat Sri Pahang FC selepas juga berpengalaman dalam Harimau Muda.
2. Kogileswaran Raj
Dua tahun lalu, Kogileswaran Raj menjadi buah mulut peminat bola sepak tempatan apabila melakar sejarah sebagai pemain pertama yang beraksi di Korea Selatan setelah menyertai Chungbuk Cheongju dalam divisyen kedua negara itu.
Tetapi, sepanjang setahun di sana, penyerang sayap itu hanya sempat beraksi selama sekali dengan ramai berpandangan keputusannya ke negara Asia Barat berkenaan tidak sepatutnya diambil.
Ini kerana selepas kontraknya di sana tamat, Kogileswaran bergelut mencari kelab baharu dengan keputusannya menyertai Penang FC gagal menjadi batu lonjakan dalam kariernya.
Kogileswaran (kanan) beraksi buat NPNG FC dalam Liga FAS baru-baru ini.
Selepas hanya separuh musim di Utara tanah air, pemain berusia 27 tahun itu kemudian menyertai kelab Liga A1 Semi Pro, Bunga Raya Damansara (BRD) FC bagi kempen lalu.
Tidak terhenti di situ, usaha Kogileswaran membuktikan kebolehannya dalam liga bawahan berterusan apabila dia beberapa kali kelihatan beraksi dalam Liga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) buat NPNG FC.
Keputusan untuk terus berada dalam liga negeri sudah tentu akan merencatkan perkembangannya dengan Kogileswaran perlu segera mencari kelab baharu untuk memastikan bakatnya tidak terkubur.
3. Syazwan Zainon
Berbeza dengan Saiful dan Kogileswaran, Syazwan Zainon merupakan satu-satunya pemain berusia dalam senarai ini kerana dia yang sudah berusia 35 tahun memilih untuk beraksi dalam liga bawahan sebelum menutup kariernya.
Dia yang musim lalu beraksi di Lembah Klang untuk Putrajaya Athletics FC dalam Liga A1 Semi Pro kini dilaporkan masih lihat mempamerkan kebolehan di atas padang buat Blackroad FC dalam Liga Bagan di Pulau Pinang.
Syazwan Zainon muncul pemain terbaik perlawanan dalam aksi Liga Bagan baru-baru ini. — Facebook/Liga Bagan
Malah, baru-baru ini, dalam pertembungan menentang Sinar Muda FC di peringkat suku akhir, Syazwan diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan yang hanya menceritakan bakatnya masih belum pudar.
Ini menunjukkan bekas pemain sayap negara itu masih boleh beraksi di tahap tertinggi, namun terpaksa melupakan hasrat itu demi memberi peluang buat bintang lebih muda.
Untuk rekod, sebelum terlibat dalam liga bawahan, Syazwan pernah mewarnai pelbagai kelab tanah air seperti Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di samping pernah memakai lilitan tangan kapten buat skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram