
PENJAGA gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel menjalani perjalanan panjang dalam usahanya mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Gergasi Merah.
Di pelbagai tempat Sikh Izhan berkelana bagi mendapatkan ilmu. Jangankan di Malaysia, sampaikan ke Sepanyol dia pergi berguru supaya permainannya semakin matang.
Bersama Selangor, dia sudah beberapa kali dipinjam keluar dengan Negeri Sembilan FC dan Penang FC antara destinasinya.
BACA LAGI: Jodoh masih bertaut, Selangor-NSFC-Penang dikhabar rekrut semula ex-import Liga Super
BACA LAGI: Lepas Sikh Izhan-Richmond, 3 lagi bintang Selangor boleh sarung sekejap jersi Penang
Dari kiri: Sikh Izhan, Syed Qamarul dan Dr Johan bertemu di padang latihan Selangor.
Akan tetapi, fasa menimba ilmu dilihat sudah selesai buat Sikh Izhan dengan dia kini bersedia untuk mencabar jersi nombor satu Selangor musim depan.
Menerusi perkongsian ejennya iaitu Syed Qamarul Firdaus Samat, dia berkongsikan gambarnya bersama-sama penjaga gol itu serta Ketua Pegawai Eksekutif Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon.
Menurut Qamarul, segala usaha membolehkan Sikh Izhan mendapatkan minit permainan sudah selesai. Tempoh 2.5 tahun dipinjam keluar adalah terlalu lama untuk pemain itu hadapi.
"Kepulangan semula anak yang hilang. 2.5 tahun itu terlalu panjang. Sudah tiba masa untuk menyinar," kata Syed Qamarul.
Sikh Izhan bakal berdepan cabaran Kalamullah Al-Hafiz yang menjadi pilihan semasa Katsuhito Kinoshi di gawang Selangor.
Sejak menyertai Selangor pada pertengahan musim, Kalamullah menerima pujian daripada penyokong dalam membantu mereka layak ke Asia musim depan.
Namun begitu, rekod Sikh Izhan di Penang musim ini tidak kurang hebatnya apabila dia mencatatkan tujuh nirbolos (clean sheet) dalam Liga Super.
Ia akan menjadi pertarungan sengit antara kedua-dua penjaga gol musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel