
MUSIM lalu, rata-rata daripada tonggak skuad Tok Gajah merupakan pemain berpengalaman termasuk Kpah Sherman, Fadhli Shas dan Adam Nor Azlin yang turut dibantu bintang muda seperti Ibrahim Manusi dan Azfar Arif.
Namun, di sebalik 'ubi muda' kerap diturunkan, terselit nama Saiful Jamaluddin yang kurang menerima tumpuan seperti mana rakan sepasukannya meskipun beraksi sepenuh jiwa setiap kali diberi peluang.
Dia yang beraksi 22 kali dalam semua pertandingan buat pasukan senior musim lalu boleh dianggap sebagai 'pakej lengkap' kerana bijak memintas pergerakan lawan.
BACA LAGI: Sudah ada permata baharu, magis hantaran Azam Azih tetap jadi pilihan fans Tok Gajah
BACA LAGI: Ikat Sabah di Likas, Kpah Sherman kagum kudrat 2 pemain muda Sri Pahang
Saiful tidak pernah mengecewakan setiap kali diberi minit permainan. — Facebook/Sri Pahang FC
Bagaimanapun, kebolehannya itu tidak dapat diteruskan buat Sri Pahang FC bagi kempen akan datang berikutan khabar angin mengatakan kelab itu tidak akan bersaing.
Meskipun memperolehi lesen kebangsaan, pasukan Pantai Timur berkenaan tidak mempunyai sumber kewangan selepas pemilik sebelum ini, Tengku Abdul Rahman memilih untuk berundur.
Jadi, situasi itu menyaksikan rata-rata pemain, termasuk Saiful sendiri untuk mencari destinasi baharu dalam kariernya dengan pilihan utama semestinya kelab Liga Super.
Tetapi, hal sebaliknya pula berlaku apabila prospek berusia 22 tahun itu memilih kelab Liga Pahang berbanding mencari mana-mana pasukan dalam divisyen teratas bola sepak negara mahupun Liga A1 Semi Pro.
Pulau Tawar FC mengalu-alukan kehadiran empat pemain baharu yang masing-masing pernah beraksi buat skuad Tok Gajah. — Facebook/Myligapahang
Berita itu dikongsikan laman Facebook Myligapahang memaparkan pemain berkenaan menjadi rekrut baharu Pulau Tawar FC yang beraksi dalam Zon Tengah bagi Liga A3.
Menariknya, keputusan Saiful itu menyaksikannya beraksi di samping tiga bekas pemain Tok Gajah lain, iaitu Azamuddin Akil, Hafiz Kamal serta Hazuan Daud.
Pengalaman diperolehi beraksi dalam liga negeri diharapkan mampu mematangkan Saiful bagi musim-musim akan datang dengan harapan terdapat kelab tempatan menyedari bakatnya.
Dalam aksi pembukaan Liga Amatur Pahang, Pulau Tawar FC yang beraksi di Padang Kompleks Sukan KBS Jerantut, Pahang menentang Abyss FC meraih kemenangan selesa 6-2.
Gol pasukan itu disumbangkan Hafiz Kamal yang meledak hatrik sementara Syaqir Iman menjaringkan dua gol sementara satu lagi jaringan disumbang Meran untuk memastikan kemenangan besar buat Pulau Tawar FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram