[VIDEO] DNA Kedah sudah kembali, fans Sang Kenari puji persembahan bakat muda


  • Podium
  • Ahad, 02 Feb 2025

Milos Gordic (dua dari kiri) dilantik menjadi kapten Kedah untuk memimpin Sang Kenari mara ke pentas akhir Piala Cabaran sebelum disekat oleh PRDM. — KDA FC

KEDAH DARUL AMAN FC (KDA FC) menamatkan perjalanan mereka dalam kejohanan Piala Cabaran 2024/25 apabila tewas di tangan PDRM FC menerusi keputusan penalti 4-5 selepas terikat secara agregat 4-4 di Stadium Darul Aman, Kedah pada Sabtu (1 Februari).

Sang Kenari yang menjaringkan gol terlebih dahulu dalam aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran itu terpaksa berjuang habis-habisan selepas Shafizi Iqmal menjadi wira PDRM untuk mengheret aksi tersebut sehingga sepakan penalti.

Keputusan itu menyaksikan Kedah selaku tuan rumah terpaksa menggigit jari selepas hampir mengatasi PDRM dengan aksi di laman sendiri dihadapan lebih 3,000 penyokong.

BACA LAGI: [VIDEO] Fans tak gemar lihat reaksi Arif Aiman 'ajak gaduh' lepas kaki dipijak pemain TFC

BACA LAGI: Romel, Arif Aiman buat bek Terengganu pening kepala, fans geram taktikal 'backpass' Sang Penyu

Namun begitu, usaha yang dipamerkan anak-anak buah Victor Andrag wajar mendapat pujian sepenuhnya selepas pelbagai isu dihadapi oleh skuad kendaliannya itu untuk sampai ke pentas separuh akhir.

Kehilangan pemain-pemain utama seperti Mohd Rizal Ghazali, Irfan Zakaria dan empat pemain import memberikan kesukaran buat Sang Kenari untuk mara lebih jauh.

Dalam ruangan komen rasmi media sosial KDA FC, rata-rata penyokong memuji setiap komitmen pemain-pemain dengan berharap agar pihak pengurusan berjaya melakukan sesuatu demi masa depan bola sepak Kedah.

"'Salute' untuk semua pemain dan staf yang berjuang semalam (1 Februari), anda memang terbaik. Ubi-ubi (pemain) muda pun bagus, semoga ada sinar untuk pasukan Hijau Kuning selesaikan segala kemelut yang sedang melanda pasukan," kata Mohd Kamal Azira.

"Penonton tahu menilai, jika skuad yang ada ini terus digilap tak mustahil penonton akan kembali ke stadium," jelas Khairul Azimin.

"Tak malu dengan persembahan Sang Kenari, hebat! Bagaikan tiada masalah apa-apa pun. Jika masih ada lagi musim depan kekalkan mereka," ujar Hafni Halim.

"DNA yang kembali dalam bola sepak Kedah, teruskan maju ke depan. Kegagalan hari ini kekuatan yang akan membawa kejayaan," luah Khairul Manan.

Kata-kata pujian oleh penyokong Kedah itu memberikan sinar buat pihak pengurusan untuk terus giat menghidupkan kembali bola sepak di negeri itu.

Untuk rekod, musim ini Kedah kehilangan empat pemain import iaitu Habib Haroon, Cleyton da Silva, Sony Norde dan Sukhrob Nurulloev.

Manakala bintang lokal yang menarik diri daripada terus beraksi bersama Kedah ialah Irfan Zakaria, Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad, Ariff Farhan dan Kalamullah Al-Hafiz.

Kedah selepas ini akan memberikan segala tumpuan untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam Liga Super dengan Negeri Sembilan FC menjadi cabaran pertama pada 26 Februari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram