Kehadiran Cristian Abad hanya timba pengalaman, Cklamovski belum pilih siapa kapten Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 19 Mac 2025

Abad merupakan pemain kelahiran Sepanyol berusia 19 tahun telah menyertai skuad Harimau Selatan pada tahun lalu. — FAM

SKUAD kebangsaan kini dalam persiapan rapi untuk menghadapi cabaran Nepal bagi aksi pembukaan kelayakan Piala Asia 2027 menentang pada 25 Mac depan.

Skuad kebangsan telah berkampung di Johor Bahru bermula Isnin (17 Mac) untuk menjalani kem latihan pusat selama lapan hari sebelum bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Apa yang menarik dalam sesi latihan pertama di bawah kendalian Peter Cklamovski adalah kehadiran pemain warisan Sepanyol-Malaysia, Cristian Abad.

BACA LAGI: [VIDEO] Harumkan nama negara di Liga Albania, aksi Azurin Mazlan 'save' penalti raih perhatian ramai

BACA LAGI: Fans Gergasi Merah harap bintang import kekal di bumi Selangor, bantu tutup kesilapan Afro

Penjaga gol muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Abad menyertai ‘revolusi’ skuad Harimau Malaya selepas muncul pada sesi latihan rasmi di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam pada Isnin.

Abad yang merupakan pemain kelahiran Sepanyol berusia 19 tahun telah menyertai skuad Harimau Selatan pada tahun lalu dan memiliki pengalaman mewakili beberapa kelab akademi kelab di Sepanyol seperti Valencia, CD Alcoyano dan Elche CF.

Meskipun tiada pengesahan rasmi mengenai statusnya daripada kelab JDT atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Abad telah turun menjalani latihan bersama tiga lagi penjaga gol tempatan, Ahmad Syihan Hazmi, Kalamullah Al-Hafiz dan Haziq Nadzli.

Namun begitu, menurut wartawan Astro Arena, Kamal Nizam kehadiran Abad adalah untuk pendedahan dan pelaburan jangka masa panjang untuk skuad kebangsaan.

"Berdasarkan info yang saya dapat, dikhabarkan dia hanya berada di situ sebagai 'development purpose' hanya untuk berlatih bersama.

"Dia baru berumur 19 tahun, merupakan pemain warisan yang mempunyai darah Malaysia dan juga Sepanyol.

"Nafuzi Zain merupakan ketua jurulatih Bawah 23 Tahun, dia (Nafuzi) juga berada di situ, jadi tidak terkejut kalau Cristian Abad juga berada di situ untuk berlatih bersama-sama," katanya.

Tambah Kamal lagi, Cklamovski juga masih belum mempunyai nama pemain manakah bakal menyarung lilitan kapten Harimau Malaya, sebaliknya fokus kepada pasukan.

"Tentang siapa yang paling layak untuk jadi kapten di bawah Coach Peter, mungkin Dion (Cools).

"Tapi Coach Peter lebih menekankan, walaupun skil kepimpinan itu penting dalam pasukan. Tapi yang lebih penting adalah dia nak melihat keserasian pemain.

"Dia nak melihat segala apa yang boleh dilakukan dulu dengan pasukan, bila masa akan datang dan sampai masanya dia akan buat keputusan siapa yang menjadi kapten," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram