
AKSI hambar ditampilkan skuad Gergasi Merah ketika mengalami kekalahan kepada Negeri Sembilan FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad.
Perlawanan itu pada awalnya menyaksikan penguasaan Selangor FC sehingga membolehkan mereka meraih gol pendahuluan menerusi tandukan jarak dekat Richmond Ankrah.
Namun, setiap peluang dihidangkan disia-siakan jentera serangan pasukan pelawat yang dibarisi Faisal Halim, Willian Lira serta Chrigor Moraes menyaksikan kelebihan gagal digandakan.
BACA LAGI: Legenda Selangor ucap tahniah buat Indonesia, sempat 'tegur' pelan bola sepak negara
BACA LAGI: Hardi Jaafar kena tahan wad akibat masalah darah putih, komplikasi buah pinggang
Mio (kanan) menjadi watak utama ketika skuad Jang mengejutkan Selangor FC di laman sendiri. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Kealpaan pasukan akhirnya memakan diri apabila pada minit ke-82, kubu mereka akhirnya dibolosi selepas benteng pertahanan gagal mengekang gerakan pantas Mio Tsuneyasu.
Kekecewaan jelas berganda selepas pintu gol Selangor FC sekali lagi ditembusi dengan Mio sekali lagi menewaskan Kalamullah Al-Hafiz yang beraksi cemerlang sepanjang permainan.
Persembahan cukup mengecewakan daripada anak-anak buah Katsuhito Kinoshi itu sekali gus menimbulkan rasa berang dalam kalangan penyokong Merah Kuning yang sudah memasang cita-cita besar musim ini.
Bagaimanapun, selepas hanya meraih tiga mata daripada tiga perlawanan, harapan tersebut kian pudar selain kualiti import dibawa masuk mula dipersoalkan.
Respons sama turut dilontarkan legenda Selangor, Malek Rahman yang hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan, namun terpaksa pulang dengan perasaan hampa.
Willian Lira menjadi tumpuan kritikan atas persembahan cukup mengecewakan. — Facebook/Selangor FC
"Aku dah beritahu, pemain import Selangor aku tengok sendiri depan mata seperti tidak cukup vitamin, anda semua tidak percaya," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Kritikan cukup hebat diberikan terhadap Lira di media sosial apabila penyerang Brazil yang diletakkan di posisi sayap berkali-kali lewat dalam melakukan larian.
Teguran diberikan Malek itu seharusnya membuka mata pihak pengurusan yang perlu segera mencari solusi terhadap kepincangan pasukan demi merebut kedudukan lebih baik musim ini.
Malek menyarung jersi skuad Gergasi Merah untuk majoriti daripada kariernya pada era 1990-an ketika kelab tersebut menjadi antara kelab terbaik tanah air.
Selain itu, dia yang beraksi di posisi pertahanan pernah dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan sebanyak beberapa kali dengan peluang tersebut menceritakan kualiti dimilikinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram