Legenda Selangor ucap tahniah buat Indonesia, sempat 'tegur' pelan bola sepak negara


  • Podium
  • Selasa, 08 Apr 2025

Indonesia melakar sejarah baharu dengan melangkah ke pentas Piala Dunia secara merit buat kali pertama dalam sejarah. — Agensi

KEJAYAAN Indonesia melangkah ke pentas Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) membuka lembaran baharu buat negara yang semakin berkembang pesat dalam dunia bola sepak antarabangsa.

Mereka yang layak secara merit buat kali pertama pasti berbangga dengan pencapaian tersebut kerana menjadi negara pertama dari Asia Tenggara berbuat demikian.

Jadi, tidak hairanlah apabila peminat dari rantau tersebut sempat menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan skuad muda Garuda yang akan beraksi dalam kejohanan itu pada November nanti di Qatar.

BACA LAGI: Hardi Jaafar kena tahan wad akibat masalah darah putih, komplikasi buah pinggang

BACA LAGI: Hardi Jaafar sudah keluar wad, akan terus terima bantuan Yakeb

Malek Rahman menzahirkan ucapan tahniah buat skuad B-17 Indonesia.

Bekas pemain Selangor FC, Malek Rahman turut sempat berbuat demikian dengan mengucapkan tahniah buat negara jiran sambil sempat menegur arena bola sepak tempatan.

"Tahniah Indonesia, wakil dari Asia Tenggara ini baru betul menunjukkan kepercayaan terhadap pembangunan akar umbi. Bukan macam kita, nak segera dengan pemain warisan," katanya.

Tidak boleh dinafikan bahawa skuad Harimau Malaya serta Garuda meletakkan kebergantungan terhadap bintang naturalisasi dan warisan yang membuahkan hasil dari segi gaya permainan.

Bagaimanapun, perancangan badan induk bola sepak Indonesia tidak melupakan pembangunan dengan kejayaan pasukan muda mereka melangkah ke Piala Dunia B-17 menjadi bukti.

Skuad muda negara masih jauh ketinggalan berbanding Indonesia. Facebook/FAM

Ini menunjukkan perbezaan ketara kerana pencapaian terbaik buat Harimau Muda adalah apabila mereka melangkah ke suku akhir Piala Asia B-17 2014, namun mengalami kekecewaan pada edisi berikutnya.

Perubahan perlu dilakukan segera Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melihat kemajuan skuad pelapis negara yang ketika ini masih berada di takuk lama tanpa sebarang kelainan disaksikan.

Jadi, teguran Malek Rahman yang pernah beraksi buat skuad Gergasi Merah pada era 1990-an diharapkan mampu membuka mata terhadap badan induk bola sepak negara berkenaan.

Dia yang juga beberapa kali mewakili Harimau Malaya sepanjang kariernya pasti memahami selok belok FAM memandangkan pernah menjadi watak penting ketika membantu mereka menjulang Pestabola Merdeka 1993. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram