
ANTARA Pahang Rangers atau Selangor, dua kuasa besar futsal tanah air akan bertemu di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu untuk berebut mendapatkan trofi Piala Malaysia Futsal untuk kempen 2025.
Skuad Pahang Rangers yang sememangnya hadir dengan reputasi sebagai juara musim 2023 melakukan kejutan apabila menewaskan pemenang musim lepas iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika pusingan separuh akhir.
Tewas 3-5 kepada JDT di peringkat semi final pertama di gelanggang sendiri, Tok Gajah melakar keajaiban dengan membenam lawan 8-4 pada aksi kedua, sekali gus membayangi kehebatan juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 2025 itu dengan kemenangan agregat 11-9.
BACA LAGI: Kempen MPFL makin mencabar, bekas tonggak Sabah jadi pilihan Pahang Rangers
BACA LAGI: Kedah bercita-cita besar, sambar bintang Paraguay menjelang kempen MPFL
Manakala, Gergasi Merah pula sekali lagi menjadi menjadi naib johan MPFL 2024 apabila mengumpul 36 mata hasil 12 kemenangan dan dua kekalahan selepas mengharungi 14 perlawanan musim ini.
Selangor mungkin tampak lebih yakin apabila di saingan MPFL mereka berpesta gol menewaskan Pahang Rangers FC 7-2 hasil jaringan Borges Evandro (m-3), Khairul Effendy (m-14, m-17, m-25), Syahir Iqbal (m-19, m-29), dan Saiful Nizam (m-26).
Kedua-dua pasukan jelas mempunyai kekuatan tersendiri dengan masing-masing juga mempunyai pemain utama yang akan dipertaruhkan untuk menggegarkan N9 Arena pada Sabtu ini;
1) Felipe De Souza (Pahang Rangers)
Felipe sudah dua musim bersama Pahang Rangers. — Facebook/PahangRangers
Awal musim kempen MPFL bermula, Pahang Rangers banyak menyaksikan pemergian pemain utama mereka seperti Saiful Nizam Md Ali dan Nazreen Saude yang memilih untuk berkelana ke Selangor FC.
Bagaimanapun, di sebalik pemergian sebahagian besar tonggak pasukan, skuad bimbingan Luis Fonseca masih boleh tersenyum kerana masih memiliki sentuhan import kelahiran Brazil, Felipe de Souza.
Felipe yang tiba pada Januari 2024 itu tetap setia bersama pasukan Pantai Timur berkenaan walaupun diyakini ada kelab memburu khidmat Penjaring Terbanyak musim 2024 itu selepas menjaringkan 24 gol.
Musim ini, pemain yang beraksi sebagai pivot itu masih menunjukkan ketajamannya di hadapan gawang apabila sudah mencetak lima gol dalam saingan Piala Malaysia Futsal termasuk empat gol menentang JDT dan 22 gol untuk MPFL 2025.
Corak permainan berkelas dunia yang ditampilkan pemain berkenaan boleh menjadi duri dalam daging buat Gergasi Merah, dan sekali gus mengaburi pertahanan skuad kendalian Edgar Baldasso pada Sabtu ini.
2) Evandro Borges (Selangor)
Kali pertama beraksi luar Brazil, Evandro Borges tidak menunjukkan sebarang kesusahan untuk menyesuaikan diri dengan suasana futsal Malaysia sejak dia tiba sebagai import Selangor pada Januari lepas.
Pada awal video pengenalannya, pemain berusia 27 tahun berkenaan berkongsi reputasi Selangor sebagai salah satu kuasa besar futsal tanah air menyebabkan sebab utama Evandro menyertai Gergasi Merah.
Tidak menunjukkan sebarang kesusahan bermain di MPFL, Evandro memberi impak besar apabila mencetak lapan gol selepas lima perlawanan. Di akhir saingan MPFL, pemain itu menyumbang 19 gol buat Selangor.
Pada saingan Piala Malaysia Futsal pula, pemain yang pernah beraksi dengan Tubarao itu merupakan penjaring terbanyak semasa dengan mengumpul enam gol bersama pemain JDT, Awaluddin Nawi.
Jumlah jaringan itu nampaknya akan terus bertambah di pentas final pada Sabtu ini jika Evandro bermotivasi untuk menjadi penjaring terbanyak Piala Malaysia Futsal 2025.
3) Zainul Zahin (Pahang Rangers)
Zainul Zahin antara pemain tumpuan pada Sabtu ini. — Facebook/PahangRangers
Sering dianggap sebagai wira tidak didendang, prestasi luar biasa penjaga gol Pahang Rangers, Zainul Zahin Sinuan telah meletakkan dirinya sebagai salah satu tonggak utama pasukan menuju pentas akhir.
Dalam aksi separuh akhir kedua yang lalu menentang Harimau Selatan, Zainul Zahin tampil cemerlang dengan deretan aksi menyelamat yang memukau bagi memastikan Pahang Rangers lolos ke pentas final.
Zainul Zahin berjaya menggagalkan sekurang-kurangnya lapan percubaan tepat daripada skuad bimbingan Juan Antonio Miguel Garcia, ia merupakan satu angka mengagumkan ketika menentang pasukan berkualiti seperti JDT.
Keupayaannya membaca permainan serta membuat keputusan tepat pada saat genting menjadikan Pahang Rangers lebih kukuh dan sukar ditembusi. Dalam futsal yang serba pantas, kehadiran penjaga gol sebegitu adalah aset tidak ternilai.
Dengan reputasi Selangor sebagai sebuah pasukan berpengalaman dan memiliki jentera serangan berbisa, cabaran menanti Zainzul Zahinbukan sesuatu yang mudah tetapi semangat juang tinggi serta keyakinanbta diyakini mampu menjadi pembakar semangat kepada pasukan.
4) Khairul Effendy Bahrin (Selangor)
Ketua pasukan Selangor, Khairul Effendy Bahrin atau lebih dikenali sebagai Ayon, tampil sebagai tonggak utama dalam misi membawa pasukannya menjulang Piala Malaysia Futsal pada Sabtu ini.
Pemain berpengalaman itu bukan sahaja menjadi penggerak utama taktikal Selangor, malah turut berperanan sebagai pemimpin yang menyuntik semangat juang tinggi kepada rakan sepasukan.
Dengan rekod cemerlang musim ini termasuk mencetak hatrik ketika menentang Pahang Rangers pada aksi MPFL, Ayon menjadi simbol keyakinan pasukan menjelang perlawanan getir menentang Tok Gajah.
Pengalaman luas Ayon dalam kancah futsal tempatan turut memberi kelebihan kepada Selangor berikutan dia sudah masak dengan tekanan perlawanan besar dan tahu bagaimana mengawal rentak permainan dalam situasi genting.
Usianya yang sudah mencecah 37 tahun tidak dijadikan alasan dengan Ayon masih dilabel sebagai tonggak Selangor FC dengan gerakan, hantaran dan kelibatnya diharapkan mampu menghadiahkan gelaran juara Piala Malaysia Futsal musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram