
HANTARAN Instagram pemain badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia mencetuskan tanda tanya dalam kalangan masyarakat selepas dia memuat naik beberapa lakaran gambar pada Khamis.
Hantaran berkenaan yang mencatat lebih 75,000 tanda suka setakat ini mencetuskan spekulasi termasuk dakwaan bahawa pemain berusia 27 tahun itu mungkin sedang berdepan masalah kemurungan.
Ilustrasi yang dikongsi Zii Jia tidak disertakan sebarang kapsyen, namun simbolik gambarnya membawa pelbagai tafsiran hingga mengundang kebimbangan dalam kalangan warga maya.
BACA LAGI: Dollah Salleh kunci mulut, Zainal harap 'jodoh' bersama Imigresen FC berpanjangan
BACA LAGI: 'Coach Kino yang pilih, trust the process', Chrigor Moraes sah ke Selangor FC
Seorang pengguna di platform X (Twitter), @Irfan_newboys berkata, hantaran tersebut agak mengusarkan dan berkemungkinan besar menjadi isyarat awal kepada kesihatan mental pemain itu.
"Lee Zii Jia punya latest post di Instagram agak menakutkan. Nampak macam ada tanda-tanda depression.
"Kita harap dia ok. Kami sentiasa menyokong anda, Lee Zii Jia," ciapnya.
Tinjauan Majoriti turut mendapati ruangan komen hantaran itu dibanjiri dengan ucapan kata-kata semangat dan sokongan moral daripada rakan dan peminat sukan badminton tanah air yang berharap agar jaguh negara itu berada dalam keadaan baik.
Lee Zii Jia sebelum ini sering menjadi perhatian bukan sahaja kerana prestasi di gelanggang, malah turut menempuh beberapa cabaran termasuk isu konsistensi dan tekanan selepas bergerak secara profesional.
Untuk rekod, pemain perseorangan profesional negara tersebut kini berada di ranking ke-27 dunia dan dijangka akan kembali ke gelanggang pertandingan di Kejohanan Terbuka Jepun yang berlangsung dari 15 hingga 20 Julai ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram