Zii Jia hanya minat seni, bukan isyarat lain — Ketua Pengarah MSN


  • Podium
  • Sabtu, 05 Jul 2025

Zii Jia di Instagram baru-baru ini menimbulkan tanda tanya apabila berkongsi beberapa siri lukisan berunsur abstrak dan 'aneh'. — Instagram/leeziijia

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin tampil memberikan penjelasan berhubung gambar yang dimuat naik oleh pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat sukan tanah air.

Status terbaharu Zii Jia di Instagram baru-baru ini menimbulkan tanda tanya apabila pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berkongsi beberapa siri lukisan berunsur abstrak dan 'aneh'.

Sejak dimuat naik, hantaran tersebut telah meraih lebih 134,000 tanda suka dan lebih 3,000 komen, kebanyakannya tertanya-tanya maksud sebenar di sebalik gambar tersebut.

BACA LAGI: Boleh pecah rekod saya, tapi biarlah anak tempatan — Indra Putra Mahayuddin

BACA LAGI: Jangan hanya fikir stadium, perlu ambil kira kemudahan lain sebelum Imigresen FC pilih ‘home ground’

Antara ilustrasi yang dikongsi Zii Jia di Instagram miliknya. Instagram/leeziijia

Mengulas perkara tersebut ketika ditemui pada Hari Sukan Atlet 2025, Jefri menjelaskan bahawa tiada perkara luar biasa yang perlu dibimbangkan berhubung hantaran ilustrasi tersebut.

"Gambar yang dimuat naik itu sekadar menampakkan Zii Jia menyukai lukisan seni yang sebegitu rupa," katanya kepada pemerhati sukan tanah air, Husna Zainuddin.

Penjelasan berkenaan diharap dapat meredakan spekulasi dalam kalangan peminat, lebih-lebih lagi menjelang beberapa kejohanan penting yang bakal disertai oleh Zii Jia dalam kalendar badminton antarabangsa.

Sebelum ini, Zii Jia telah berkongsikan beberapa ilustrasi yang tidak disertakan sebarang kapsyen, namun simbolik gambarnya membawa pelbagai tafsiran hingga mengundang kebimbangan dalam kalangan warga maya.

Zii Jia sering menjadi perhatian bukan sahaja kerana prestasi di gelanggang, malah turut menempuh beberapa cabaran termasuk isu konsistensi dan tekanan selepas bergerak secara profesional.

Untuk rekod, pemain perseorangan profesional negara tersebut kini berada di ranking ke-27 dunia dan dijangka akan kembali ke gelanggang pertandingan di Kejohanan Terbuka Jepun yang berlangsung dari 15 hingga 20 Julai ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram