
JENTERA serangan Johor Darul Ta'zim (JDT) sedikit pincang ketika ini berikutan kecederaan dialami Teto Martin dan Enzo Lombardo yang masing-masing dijangka terpaksa direhatkan beberapa bulan.
Ini merupakan satu tamparan hebat buat skuad Harimau Selatan yang bukan sahaja akan bersaing di pentas domestik, malah perlu memberi persembahan terbaik di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite dan Piala Shopee.
Jadi, untuk mengisi kehilangan ditinggalkan itu, pihak pengurusan bertindak memanggil semula pemain sayap dari Argentina, Manuel Hidalgo yang sebelum ini dipinjamkan ke Kuala Lumpur (KL) City FC.
BACA LAGI: Perjalanan masih panjang, tak adil jadikan aksi berdepan NSFC penanda aras Xisco Munoz di JDT
BACA LAGI: 'Masa tak lama', JDT akan bermasalah tempuh ACLE jika taktikal Xisco Munoz belum sempurna
Kepulangan Hidalgo akan memberi lebih banyak pilihan dalam skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Keputusan tersebut sememangnya relevan kerana penyerang berkenaan sudah cukup berpengalaman dalam arena bola sepak tanah air selepas beraksi buat Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC sebelum ini.
Namun, Hidalgo sahaja belum cukup untuk memastikan jentera serangan JDT dalam keadaan terbaik kerana seorang lagi diperlukan sebelum jendela perpindahan ditutup kira-kira seminggu sahaja lagi.
Situasi itu seperti turut diketahui pihak pengurusan apabila mereka difahamkan sudah menandatangani import dari Colombia, Franco Casquete seperti mana dikesan sesetengah penyokong.
Ini kerana penyerang dengan sendiri menulis 'Pemain JDT' pada ruangan bio di laman Instagram peribadinya meskipun tiada sebarang pengesahan dibuat mana-mana pihak.
Casquete menyatakan dirinya sebagai pemain JDT seperti mana dinyatakan di ruangan bio Instagram.
Hantaran tersebut sememangnya sedikit mengelirukan kerana rata-rata peminat mula mencari latar belakang pemain berkenaan yang kini beraksi di Bahrain bersama Al-Najma Club.
Malah, ada pula yang tersilap dengan mengatakan juara bertahan Liga Super itu sudah menandatangani Abel Casquete yang beraksi di liga bawahan Peru kerana kedua-dua pemain tersebut berkongsi nama akhir.
Semakan lebih lanjut menunjukkan Casquete yang ditandatangani adalah Franco dan bukanlah Abel dengan kekeliruan tersebut kini hangat diperkatakan di media sosial.
Namun, peminat hanya dapat mengetahui bahawa rekrut terbaru itu pernah beraksi di liga UAE buat Fursan dan America de Cali di negara kelahirannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram